SAAT IMPIAN JADI KENYATAAN- PASUKAN BAHAS SMK TINGGI KLANG KE PERSADA KEBANGSAAN

     Rasanya antara saat paling indah adalah   tatkala impian menjadi kenyataan. Bagaikan  mimpi dalam mimpi apabila SMK Tinggi Klang, berjaya  menjuarai Pertandingan Bahas Bahasa Melayu ala Parlimen Sekolah-sekolah Malaysia , peringkat  Negeri Selangor  dan melangkah ke persada kebangsaan.    Dalam pertandingan peringkat akhir yang berlangsung pada 13 April 2016.  SMK Tinggi Klang yang berperanan sebagai pihak Kerajaan mengungguli pertandingan  dan menumpaskan  SMK Sri Serdang yang pernah  tujuh  kali menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan. Saat Tuan Speaker Dewan mengumumkan Usul Perbahasan yang berbunyi "Pemerkasaan Sekolah Kebangsaan Pemangkin Perpaduan Nasional"   diterima , Dewan Putera SMKTK bergema dengan jeritan gembira dan tepukan gemuruh warga STK. Sebelum itu, dalam pusingan Separuh akhir, SMK Tinggi Klang berjaya menewaskan Juara Bertahan Negeri Selangor iaitu  Daerah Sabak Bernam dengan usul "Industri Kreatif Menjana Pembangunan Ekonomi ".

Pemenang Pertandingan Bahas Bahasa Melayu

Pembahas STK bersama-sama Guru-guru dan alumni  Pembimbing   
       Menyediakan pembahas untuk pertandingan dan sekali gus membuat persiapan  pertandingan bukan suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Hasrat murni kami ingin menyediakan pentas perjuangan yang kondusif buat putera-putera kami bertarung di gelanggang adu bicara, akhirnya diberikan ganjaran kemenangan.  SMKTK bertuah kerana memiliki barisan guru Bahasa Melayu  yang mempunyai budaya kerja berpasukan yang tinggi dan berdedikasi, yang sanggup meluangkan, masa, tenaga, buah fikiran malah wang ringgit demi kejayaan anak didik. Kekuatan ini ditambah lagi dengan kemunculan alumni STK yang kini bergelar mahasiswa IPTA  yang sentiasa bersama -sama menyumbangkan idea penghujahan dan membimbing adik-adik pasukan pembahas. 
Muhd Aidil Al Hafiz - Pembahas Terbaik Peringkat Separuh Akhir

Pembahas Terbaik Peringkat Akhir- Mohd Tazrin Taijo

Pengetua bersama-sama barisan pentadbir dan murid-murid STK
Urusetia  dan JK Teknik Koakademik Daerah Klang
Pengalaman menjadi tuan rumah dan bekerjasama sebagai Jawatankuasa Pengelola bersama-sama  Unit Kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah Klang merupakan pengalaman berharga buat seluruh warga SMK Tinggi Klang. Kami kalungkan  apreasiasi buat seluruh warga STK, daripada pekerja Keselamatan, pekerja pembersihan, staf pentadbiran, pembantu makmal, guru-guru dan barisan pentadbir dalam menjayakan pertandingan peringkat negeri. Tunjang kekuatan kami juga ialah komitmen para urusetia yang terdiri daripada  guru-guru Bahasa Melayu SMK Tinggi Klang dan AJk Teknikal koakademik Klang.  Seramai 19 orang murid STK juga memainkan  peranan sebagai penjaga masa dan  penunjuk arah dan kedudukan ('usher') Semua pihak yang terlibat memainkan peranan masing-masing dengan jayanya sehingga pertandingan demi pertandingan berjalan lancar  dan  majlis penutupan berseri bukan sahaja dengan kehadiran perasmi majlis, Yang Berbahagia Datuk Hj Sarani Bin Judi, Ketua pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, malah dengan  kehadiran penyokong pasukan tuan rumah dan pasukan lawan.

Aksi Pembahas STK -Mohon izin laluan
     Paling utama putera-putera kami jelas mempunyai semangat juang yang tinggi, Semangat mereka sentiasa membara sehingga  membakar lebur pasukan daerah-daerah yang lain. Pengalaman melangkah ke peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Forum Remaja 2015 di Sarawak menjadi asas kukuh kekentalan keyakinan diri dan kekuatan diri mereka mengutarakan hujah bernas dan bukan hujah dangkal yang mudah disangkal.  Kami sungguh berbangga dengan kegigihan mereka yang berusaha secara  tekal  dan cekal sehingga akhirnya madu kejayaan  dapat dihirup bersama-sama seluruh warga sekolah, Kemenangan ini sedikit sebanyak melonjakkan nama harum SMKTK di daerah Klang khasnya dan negeri Selangor umumnya.

     Sepanjang perdebatan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi diimplementasikan oleh para pembahas. Kepetahan para pembahas berhujah bersandarkan fakta, disokong dengan data, statistik dan kata-kata tokoh berwibawa, disulam analogi, peribahasa ,kosa kata berima indah merupakan salah satu usaha meletakkan bahasa Melayu ditempatnya yang wajar. 

    Mewakili warga pendidik Bahasa Melayu, kami berharap usaha kami yang sedikit ini mampu menjadi pemangkin memartabatkan Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid. Moga-moga para pembahas  bakal menjadi pewaris kepimpinan negara dan modal insan berkualiti yang sentiasa bangga dan cinta  akan bahasa kebangsaan.



Comments

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5