Nota Pencinta Ilmu Nahu.

 Assalamualaikum  dan salam sejahtera  kepada  semua pembaca blog Aksara Guru.
Alhamdulillah, melalui laman sosial facebook  saya mengenali seorang hamba Allah yang sedia berkonsi ilmu nahu dengan kita semua. melalui laman facebook Khidmat Nasihat Tatabahasa Dewan

Berikut ialah nota  tatabahasa  yang saya peroleh melalui hantaran e-mel beliau.

Makna Awalan meN-, Akhiran-kan dan Akhiran-i dalam Kumpulan Kata Kerja yang Berlainan
Kumpulan A

Bentuk Imbuhan Yang Diterima
Kata kerja dalam kumpulan A berapitan meN-…-kan dan berapitan meN-…-i. Bentuk pasifnya di-…-kan dan di-…-i.

Makna Akhiran-i Dan Akhiran-kan

Akhiran-kan dalam kata kerja kumpulan A yang berapitan meN-…-kan membawa maksud kausatif. Ada dua jenis ayat penyampaian maksud kausatif:


1. menjadikan sesuatu objek sebagai maksud yang terkandung dalam kata dasar
    kata kerja.
   - Ayat penyampaian maksud kausatif yang pertama ini digunakan untuk kata
     kerja kumpulan A yang mengandungi kata dasar yang terdiri daripada kata
     nama. Contohnya, kata dasar bagi kata kerja ‘menganugerahkan’ ialah
   ‘anugerah’, dan ‘anugerah’ ialah kata nama. Oleh itu, kata kerja
   ‘menganugerahkan’ menggunakan ayat penyampaian yang pertama ini, iaitu
   ‘menjadikan sesuatu objek sebagai
    anugerah’.
  
   Contoh: menghadiahkan beruang permainan = menjadikan beruang permainan
   sebagai hadiah  (kata dasar ‘menghadiahkan’ ialah kata nama ‘hadiah’)


2. menjadikan sesuatu objek sebagai objek yang dilakukan oleh kata kerja
    - Ayat penyampaian maksud kausatif yang kedua ini digunakan untuk kata kerja
     kumpulan A yang mempunyai kata dasar kata kerja yang bukan terdiri daripada
     kata nama, tetapi kata kerja. Contohnya, kata dasar untuk kata kerja
    ‘mengirimkan’ ialah ‘kirim’, dan ‘kirim’ bukan kata nama, tetapi kata kerja.
     Oleh itu, kata kerja ‘mengirimkan’ tidak boleh menggunakan ayat ‘menjadikan
     sesuatu objek sebagai kirim’, sebaliknya, kata kerja ‘mengirimkan’
     menggunakan ayat penyampaian maksud kausatif yang kedua ini, iaitu
    ‘menjadikan sesuatu objek sebagai objek yang dikirimkan’. Frasa ‘sebagai objek
     yang dikirimkan’ menepati maksud frasa ‘sebagai objek yang dilakukan oleh
     kata kerja.’
     
    Contoh: menghidangkan ikan = menjadikan ikan sebagai objek yang 
    dihidangkan (kata dasar ‘menghidangkan’ ialah kata kerja ‘hidang’)
    


Akhiran-i dalam kata kerja kumpulan A yang berapitan meN-…-i mendukung makna sasaran. Ada dua jenis ayat penyampaian makna sasaran ini, iaitu:


1.  melakukan perbuatan kata kerja tersebut kepada seseorang
     - Ayat penyampaian makna sasaran yang pertama ini digunakan untuk kata
       kerja kumpulan A yang mempunyai kata dasar yang terdiri daripada kata kerja.
      Misalnya, kata kerja ‘meminjami’ terdiri daripada kata dasar ‘pinjam’, dan kata
      dasar ‘pinjam’ ialah kata kerja. Oleh itu, kata kerja ‘meminjami’ menggunakan
      ayat ‘melakukan perbuatan pinjam kepada seseorang’.

2. memberikan maksud yang terkandung dalam kata dasar kepada seseorang.
    - Ayat penyampaian makna sasaran yang kedua ini digunakan untuk kata kerja
       kumpulan A yang mengandungi kata dasar yang terdiri daripada kata nama.
       Umpamanya, kata kerja ‘menghadiahi’ terdiri daripada kata dasar ‘hadiah’,
       dan kata dasar ‘hadiah’ ialah kata nama. Oleh itu, kata kerja ‘menghadiahi’
        menggunakan ayat ‘memberikan hadiah kepada seseorang’.

Kata kerja yang berapitan meN-…-kan dalam kumpulan A diikuti oleh objek tidak bernyawa, manakala kata kerja yang berapitan meN-…-i diikuti oleh objek bernyawa.

Kata Kerja Yang Menggunakan Makna Akhiran-i Dan Akhiran-kan dalam Kumpulan A
menghadiah                   meminjam                  melempar         menikam          
menganugerah               menghidang               menanya
mengurnia                     menjatuh                    mengubat
mengirim                       menawar                    menama
mencucur                       melontar                    menyiram

Contoh Ayat


1. Menghadiahi Dan Menghadiahkan


    (a) Ayah menghadiahkan sebuah jam kepada adik.
        (menghadiahkan sebuah jam = menjadikan ‘sebuah jam’ sebagai ‘hadiah’)
       

        Maksud keseluruhan ayat: Ayah menjadikan sebuah jam sebagai hadiah
        kepada adik.
   

(b) Ayah menghadiahi adik sebuah jam.
         (menghadiahi adik = memberikan ‘hadiah’ kepada ‘adik’)
     

      Maksud keseluruhan ayat: Ayah memberikan hadiah kepada adik iaitu sebuah
      jam.

     Objek 1 = Objek Tepat : adik - objek penerima
     Objek 2 = Objek Sipi : sebuah jam - objek yang dilakukan oleh kata kerja

2. Menganugerahi Dan Menganugerahkan
    (a) Sultan menganugerahkan bintang kebesaran kepada pelawat itu.
         (menganugerahkan bintang kebesaran = menjadikan ‘bintang kebesaran’
          sebagai ‘anugerah’)

      
          Maksud keseluruhan ayat: Sultan menjadikan bintang kebesaran sebagai
          anugerah kepada pelawat itu.
   
     (b) Sultan menganugerahi pelawat itu bintang kebesaran.
          (menganugerahi pelawat itu = memberikan ‘anugerah’ kepada ‘pelawat itu’
)

           Maksud keseluruhan ayat: Sultan memberikan anugerah kepada pelawat itu
           iaitu bintang kebesaran.
       
3. Mengurniai Dan Mengurniakan


    (a) Tuhan telah mengurniakan seorang cahaya mata kepada Mak Jamilah.
          (mengurniakan seorang cahaya mata = menjadikan ‘seorang cahaya mata’
           sebagai ‘objek yang dikurniakan’)

           Maksud keseluruhan ayat: Tuhan telah menjadikan seorang cahaya mata
           sebagai objek yang dikurniakan kepada Mak Jamilah.
   
     (b) Tuhan telah mengurniai Mak Jamilah seorang cahaya mata.
          (mengurniai Mak Jamilah = melakukan perbuatan ‘kurnia’ kepada ‘Mak
            Jamilah’)


           Maksud keseluruhan ayat: Tuhan telah melakukan perbuatan kurnia kepada
           Mak Jamilah dan objek yang dikurniakan oleh Tuhan kepada Mak Jamilah
           ialah seorang cahaya mata.

4. Mengirimi Dan Mengirimkan


    (a) Kakak mengirimkan surat kepada ibu.
         (mengirimkan surat = menjadikan ‘surat’ sebagai ‘objek yang dikirimkan’)


         Maksud keseluruhan ayat: Kakak menjadikan surat sebagai objek yang
        dikirimkan kepada ibu.
   
      (b) Kakak mengirimi ibu surat.
           (mengirimi ibu = melakukan perbuatan ‘kirim’ kepada ‘ibu’)


           Maksud keseluruhan ayat: Kakak melakukan perbuatan kirim kepada ibu
           dan objek yang dikirimkan oleh kakak kepada ibu ialah surat.
       
    5. Mencucuri Dan Mencucurkan


    (a) Tuhan mencucurkan rahmat kepada makhluk-Nya.
          (mencucurkan rahmat = menjadikan ‘rahmat’ sebagai ‘objek yang
           dicucurkan’)


          Maksud keseluruhan ayat: Tuhan menjadikan rahmat sebagai objek
          yang dicucurkan kepada makhluk-Nya.

    (b) Tuhan mencucuri makhluk-Nya rahmat.
          (mencucuri makhluk-Nya = melakukan perbuatan ‘cucur’ kepada
           ‘makhluk-Nya’)

           Maksud keseluruhan ayat: Tuhan melakukan perbuatan cucur kepada
           makhluk-Nya dan objek yang dicucurkan oleh Tuhan kepada makhluk-Nya
           ialah rahmat.

 6. Meminjami Dan Meminjamkan


    (a) Leong meminjamkan nota Matematik Tambahan kepada saya.
        (meminjamkan nota Matematik Tambahan = menjadikan ‘nota Matematik
         Tambahan’ sebagai ‘pinjaman’ / ‘objek yang dipinjamkan’)

         Maksud keseluruhan ayat: Leong menjadikan nota Matematik Tambahan
         sebagai pinjaman / objek yang dipinjamkan kepada saya.
  

(b) Leong meminjami saya nota Fizik.
      (meminjami saya = melakukan perbuatan ‘pinjam’ kepada ‘saya’)


      Maksud keseluruhan ayat: Leong melakukan perbuatan pinjam kepada saya
      dan objek yang dipinjamkan oleh Leong kepada saya ialah nota Fizik.

7. Menghidangi Dan Menghidangkan


    (a) Nenek menghidangkan masakan handalnya kepada tetamu yang hadir.
         (menghidangkan masakan handalnya = menjadikan ‘masakan handalnya’
          ‘objek yang dihidangkan’)


          Maksud keseluruhan ayat: Nenek menjadikan masakan handalnya sebagai
          objek yang dihidangkan kepada tetamu yang hadir.
   
     (b) Nenek menghidangi tetamu yang hadir masakan handalnya.
         (menghidangi tetamu yang hadir = melakukan perbuatan ‘hidang’
          kepada ‘tetamu yang hadir’)


           Maksud keseluruhan ayat: Nenek melakukan perbuatan hidang kepada
           tetamu yang hadir dan objek yang dihidangkan oleh nenek kepada tetamu
           yang hadir ialah masakan handalnya.

8. Menjatuhi Dan Menjatuhkan 


   (a) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah itu.
        (menjatuhkan hukuman mati = menjadikan ‘hukum mati’ sebagai ‘objek yang
        dijatuhkan’)

       
        Maksud keseluruhan ayat: Hakim menjadikan hukuman mati sebagai objek
        yang dijatuhkan kepada pesalah itu.
  
(b) Hakim menjatuhi pesalah itu kepada hukuman mati.
        (menjatuhi pesalah itu = melakukan perbuatan ‘jatuh’ kepada ‘pesalah itu’)

         
      Maksud keseluruhan ayat: Hakim melakukan perbuatan jatuh kepada pesalah
      itu dan objek yang dijatuhkan oleh hakim kepada pesalah itu ialah hukuman
      mati.

9. Melontari  Dan Melontarkan 


     
(a) Ah Meng melontari Ah Chong batu.
           (melontari Ah Chong = melakukan perbuatan ‘lontar’ terhadap ‘Ah Chong’)
      
* Di dalam kamus, ‘melontari’ bermaksud melontar berkali-kali

         
Maksud keseluruhan ayat: Ah Meng melakukan perbuatan lontar terhadap
         Ah Chong dan objek yang dilontarkan oleh Ah Meng terhadap Ah Chong
         ialah batu.
   
     
(b) Ah Meng melontarkan batu terhadap Ah Chong.
          (melontarkan batu = menjadikan ‘batu’ sebagai ‘objek yang dilontarkan’  
      
          
          Maksud keseluruhan ayat: Ah Meng menjadikan batu sebagai objek yang
          dilontarkan terhadap Ah Chong.

10. Melempari Dan Melemparkan


    
(a) Clement melemparkan dompet Adrian kepada Adrian.
           (melontarkan dompet Adrian = menjadikan ‘dompet Adrian’ sebagai
            ‘objek yang dilontarkan’)


            Maksud keseluruhan ayat: Clement menjadikan dompet Adrian sebagai
            objek yang dilontarkan kepada Adrian.
   
    (b) Clement melempari Adrian dompet Adrian.
          (melontari Adrian = melakukan perbuatan ‘lontar’ kepada ‘Adrian’)
         
*Di dalam kamus, ‘melempari’ bermaksud melempar berkali-kali.
          

          Maksud keseluruhan ayat: Clement melakukan perbuatan lontar kepada
          Adrian dan objek yang dilontarkan oleh Clement kepada Adrian ialah
         dompet Adrian.

11. Menanyai Dan Menanyakan


     
(a) Hong menanyakan keadaan bapanya kepada doktor.
            (menanyakan keadaan bapanya = bertanya tentang ‘keadaan bapanya’;
             menjadikan ‘keadaan bapanya’ sebagai ‘objek yang ditanyakan’)


            Maksud keseluruhan ayat: Hong bertanya tentang keadaan bapanya kepada
            doktor. / Hong menjadikan keadaan bapanya sebagai objek yang
           ditanyakan kepada doktor.
    
       (b) Hong menanyai doktor keadaan bapanya.
            (menanyai doktor = bertanya kepada doktor; melakukan perbuatan
            ‘tanya’ kepada ‘doktor’)
         

            Maksud keseluruhan ayat: Hong melakukan perbuatan tanya kepada
            doktor dan objek yang ditanyakan oleh Hong kepada doktor ialah keadaan
            bapanya.

12. Mengubati Dan Mengubatkan


      (a) Doktor mengubati Amran dengan suntikan.
           (mengubati Amran = memberikan ‘ubat’ kepada ‘Amran’)

           Maksud keseluruhan ayat: Doktor memberikan ubat
           kepada Amran dengan objek yang dijadikan sebagai ubat, iaitu suntikan.    
          *’memberikan ubat’ bermaksud menyembuhkan penyakit, bukan
             menyerahkan sesuatu ubat.
     
      (b) Doktor mengubatkan suntikan kepada Amran.
           (mengubatkan suntikan = menjadikan ‘suntikan’ sebagai ‘ubat’)


           Maksud keseluruhan ayat: Doktor menjadikan suntikan sebagai ubat
           kepada Amran.

13. Menawari Dan Menawarkan


      (a) Pemuda itu bangun lalu menawari wanita yang hamil itu tempat
           duduknya.
           (menawari wanita yang hamil itu = melakukan perbuatan ‘tawar’ kepada
            ‘wanita yang hamil itu’)

            
           Maksud keseluruhan ayat: Pemuda itu bangun lalu melakukan perbuatan
           tawar kepada wanita yang hamil itu dan objek yang ditawarkan oleh
           pemuda itu kepada wanita yang hamil itu ialah tempat duduknya.
     

(b)     Pemuda itu bangun lalu menawarkan tempat duduknya kepada wanita
           yang hamil itu.
          (menawarkan tempat duduknya = menjadikan ‘tempat duduknya’ sebagai
            ‘objek yang ditawarkan’ / ‘tawaran’)
         

           Maksud keseluruhan ayat: Pemuda itu bangun lalu menjadikan tempat
           duduknya sebagai objek yang ditawarkan / tawaran kepada wanita yang
           hamil itu.

14. Menamai Dan Menamakan


      (a) Aishah menamakan Si Tompok kepada kucingnya.
           (menamakan Si Tompok = menjadikan ‘Si Tompok’ sebagai ‘nama’)

           Maksud keseluruhan ayat: Aishah menjadikan Si Tompok sebagai nama
           kepada kucingnya.
     
      (b) Aishah menamai kucingnya Si Tompok.
           (menamai kucingnya = memberikan ‘nama’ kepada ‘kucingnya’)

          
          Maksud keseluruhan ayat: Aishah memberikan nama kepada
           kucingnya dan nama itu Si Tompok.
         
15. Menyirami Dan Menyiramkan


     (a) Kadir menyirami Ratna dengan air.
           (menyirami Ratna = melakukan perbuatan ‘siram’ terhadap ‘Ratna’)


            Maksud keseluruhan ayat: Kadir melakukan perbuatan siram terhadap
            Ratna dengan air sebagai objek yang disiramkan.
          
     (b) Kadir menyiramkan air terhadap Ratna.

          
(menyiramkan air = menjadikan ‘air’ sebagai objek yang ‘disiramkan’)
           Maksud keseluruhan ayat: Kadir menjadikan air sebagai objek yang
           disiramkan terhadap Ratna.


16. Menikami Dan Menikamkan


       (a) Penjahat itu menikami lawannya dengan keris.
             (menikami lawannya = melakukan perbuatan ‘tikam’ kepada ‘lawannya’)
            

             Maksud keseluruhan ayat: Penjahat melakukan perbuatan tikam kepada
             lawannya dengan keris.

      (b) Penjahat itu menikamkan kerisnya ke perut lawan.
            (menikamkan kerisnya = menjadikan ‘kerisnya’ sebagai ‘objek yang
              ditikamkan’)


            Maksud keseluruhan ayat: Penjahat itu menjadikan kerisnya sebagai objek
            yang ditikamkan ke perut lawan.

 17. Memukuli Dan Memukulkan


       (a) Pak Kasim memukuli ular itu berkali-kali hingga mati.
              (memukuli ular itu = melakukan perbuatan ‘pukul’ terhadap ‘ular itu’)


             Maksud keseluruhan ayat: Pak Kasim melakukan perbuatan pukul terhadap
             ular itu berkali-kali hingga mati.

             *Dalam penggunaan kata kerja ‘memukuli’, mesti ada kewujudan
              perkataan ‘berkali-kali’. Perkataan ‘berkali-kali’ tidak boleh digugurkan.

     
 (b) Pak Kasim memukulkan kayu pada ular itu hingga mati.
             (memukulkan kayu = menjadikan ‘kayu’ sebagai ‘objek yang dipukulkan’)
      

             Maksud keseluruhan ayat: Pak Kasim menjadikan kayu sebagai objek
             yang dipukulkan pada ular itu hingga mati.










Comments

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5