TEKS FORUM REMAJA SMK TINGGI KLANG TAHUN 2015 : SAINS DAN TEKNOLOGI: ANTARA MADU DAN TUBA

Memori indah melonjakkan Pasukan Forum Remaja SMK Tinggi Klang ke Persada Kebangsaan tak mungkin terpadam selamanya dalam kamar ingatan guru-guru dan murid-murid yang terlibat.
Biapun kecundang pada Tahun 2016 dan 2017, namun, harapa untuk meraihnya tetap semarak

Setiap kali menghantar pasukan forum di daerah Bandar Diraja ini sejak era 90-an hingga pertengahan  tahun 2000-an( iaitu sebelum saya hijrah ke Wilayah Persekutuan selama 8 tahun ), sosok tubuh pasukan  yang saya anggap paling trampil dan paling berkarisma iaitu pasukan Kolej islam  Sultan  Alam Shah sentiasa membayangi saya dan anak-anak asuhan saya. Usahkan

Harapan itu tetap ada, tak mungkin terpadam daripada sudut hati saya yang paling dalam seorang guru pencinta bahasa seperti saya walaupun cabaran getir sepanjang mengharung detik perjuangan  bakal bermula. Selagi saya bergelar guru bahasa, tunas-tunas muda yang potensinya dirinya penuh untuk berdiri trampil di khalayak , akan saya bimbing . Insya-Allah , dengan ihsan dan izin-Nya, siapa tahu  kita bakal juara lagi pada  tahun 2018 kelak.  Saya sentiasa mengingatkan anak-anak didik yang saya bimbing, "jika menang itu yang terbaik buat kita daripada Allah, maka  kita akan menang dan jika kita kalah, kalah itulah juga yang terbaik buat kita"

Saya kongsikan teks Forum 2016 untuk rujukan anak-anak yang berminat menyertai aktiviti bahasa ini.


SAINS DAN TEKNOLOGI, ANTARA KEMASLAHATAN DAN KEMUDARATAN KEPADA MANUSIAz

PENGERUSI                    :
AHLI PANEL PERTAMA :
AHLI PANEL  KEDUA      :
AHLI PANEL KETIGA      :


PEMBICARA
SKRIP
PENGERUSI
Percubaan  Pertama,  Forum remaja penjana minda kelas  pertama

AHLI PANEL  1
Percubaan kedua, Forum remaja pencetus minda remaja kritis.

AHLI PANEL 2
Percubaan ketiga ,Forum remaja pencetus  minda remaja kreatif.

 AHLI PANEL 3
Percubaan keempat  ,Forum remaja penjana kelahiran generasi berinformasi.

SEMUA
Forum remaja pemangkin kecemerlangan budaya  masyarakat berilmu.

Pengerusi
Bismillahirahmannirrahim
Alhamdulillahirabbilalamin
Wassolatuwassalamu ala asrafil ambiyai wal mursalin
Wa ala alihi wasahbihi ajmain
Yang dihormati barisan hakim yang pastinya menjadi teraju kebenaran,
Ahli-ahli panel yang pastinya akan sentiasa gigih melolontarkan idea.
Sidang hadirin yang dihormati

Assalamualaikum warahmatullahitaalahiwabarakatuh,
Salam sejahtera, salam  forum Satu Malaysia,


Ahli panel dan sidang hadirin yang dirahmati Allah

    Alhamdulillah, bersyukur kita  ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia  dan izin-Nya dapat kita bersama-sama bersua dalam pertandingan forum remaja peringkat daerah Klang  pada pagi nirmala  yang bening lagi ceria ini. Saya …………………………………..akan  bersama-sama warga dewan sekalian untuk mempengerusikan forum remaja


Hadirin yang dihormati
    
    Sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita yang segak-segak lagi tampan bergaya pada hari ini, izinkan saya  untuk mengupas terlebih dahulu  mauduk  bual  bicara forum remaja kita pada hari ini. 

     Mauduk forum kita  pada hari ini berkisar  tema  Sains dan Teknologi iaitu Sains dan Teknologi : Antara maslahat dan mudarat kepada Manusia

Dunia marcapada menyaksikan manusia tersepit antara kecanggihan sains dan teknologi  yang membawa manfaat kepada manusia dengan impak negatif yang bakal memudaratkan manusia. Kita tidak dapat menafikan peri pentingnya sains dan teknologi dalam  pembangunan masyarakat sejagat.  Namun  kita juga tidak dapat menyangkal bahawa  terdapat juga  kesan buruk dalam pembangunan negara terutama kesan terhadap  alam sekitar dan kesan dari aspek sosial.

    Baiklah sidang hadirin, sebelum tirai forum dibuka untuk menelusuri  lebih mendalam topik perbincangan , molek kiranya kita berkenalan  dengan  ketiga-tiga ahli panel  kita pada hari ini.
      Di sebelah kanan saya, saudara............................................yang merupakan ahli panel yang pertama, tampan dan murah dengan senyuman selamat datang saudara, apa khabar  ?

Ahli panel 1
Terima kasih saudara pengerusi, Alhamdulillah, khabar baik.

Pengerusi
Seterusnya, saya perkenalkan ahli panel kedua, Nampak yakin dan tenang berada di sebelah  kiri saya iaitu saudara.....................................................,

selamat datang saudara
 Saudara....................................................apa khabar ?

Ahli panel 2
Alhamdulillah ,sihat sejahtera saudara  pengerusi.

Pengerusi
     Berada di sebelah ahli panel kedua, tak lain tak bukan tentulah ahli panel kita yang ketiga iaitu saudara.......................................................... Tinggi lampai orangnya. Walaupun Nampak pemalu, namun petah bicaranya. Apa  khabar saudara?

Ahli Panel 3
    Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan yang baik,maka saya berada di sini bersama saudara dan para hadirin. Salam forum buat semua.

Pengerusi
  Usai salam perkenalan daripada semua ahli panel,kembali kita kepada topik  forum kita tentang peranan remaja dalam penggunaan teknologi hijau.


Sidang hadirin yang dihormati
    
      Sidang hadirin, ahli panel yang dihormati
Izinkan saya untuk membuka tirai diskusi forum remaja kita dengan soalan pertama yang akan saya ajukan kepada ahli panel pertama.   
Saudara.......................................  , mohon saudara memberikan penjelasan tentang definisi sains dan teknologi dan bagaimanakah sains dan teknologi mampu memudahkan urusan dan menjimatkan masa  manusia ?

Ahli Panel  Pertama
Terima kasih saudara  pengerusi,
Sidang hadirin dan ahli panel  yang dihormati

Sains menurut  kamus dewan edisi keempat ialah ilmu pengetahuan yang teratur(sistematis ), yang dapat diuji  dan dapat dibuktikan   kebenarannya .
Contoh ilmu sains ialah ilmu Kimia, Fizik dan Sains Hayat

   Teknologi pula didefinisikan sebagai aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, dan lain-lain yang juga dikenali sebagai  sains gunaan. Contohnya ialah teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi permotoran dan teknologi pemakanan.

    Segala ciptaan sains dan teknologi ini pada dasarnya direkayasa khusus untuk memudahkan urusan seharian manusia. Dari kerja-kerja di rumah sehinggalah kerja-kerja di pejabat dan pusat-pusat perniagaan ciptaan sains  dan teknologi jelas membantu kita.

     Di rumah   kita menggunakan mesin basuh untuk membantu kita membersihkan longgokan kain baju kita yang kotor.  Kita tidak perlu lagi memotong kayu api untuk menyediakan sajian keluarga. Jika ingin minum air panas atau air sejuk , kita kini hanya menekan butang pada mesin penapis air pelbagai jenama Yang terdapat di pasaran. Wah, betapa mudahnya kehidupan kita pada hari ini.

     Manakala di pejabat, bunyi bising ketukan mesin taip kini sudah tidak kedengaran lagi  . Mutakhir ini Kemudahan komputer sudah mendominasi segala urusan di pejabat  . Waktu menyelesaikan kerja menjadi lebih singkat dengan perisian seperti Microsoft word yang memudahkan kerja menaip surat dan menyediakan laporan  , Microsoft Excel yang memudahkan urusan menyiapkan laporan yang memerlukan pengiraan dan pelbagai perisian lain.

    Dalam pada itu, kemudahan dan ciptaan teknologi  dalam sistem pengangkutan darat  seperti kemudahan LRT dan  Kereta api laju dan pengangkutan udara seperti jet dan kapal terbang   turut   menjimatkan masa kita menempuh perjalanan  ke destinasi.  

     Begitu juga dalam bidang pertanian, peralatan tradisional membajak sawah dengan kerbau tidak lagi dipraktikkan pak tani sebaliknya, jentera moden berteknologi tinggi seperti traktor  menjadi pengganti.

 Demikianlah Saudara pengerusi,  ahli panel dan sidang hadirin bagaimana  peranan sains dan teknologi dalam memudahkan  urusan kehidupan dan  menjimatkan masa kita baik di rumah mahupun  di tempat kerja.
Saya serahkan kembali  kepada saudara pengerusi. Terima kasih

 Pengerusi Forum
     Sidang hadirin,     demikian tadi penjelasan tentang takrif sains dan teknologi dan bagaimanakah sains dan teknolgi berperanan dalam memudahkan urusan seharian manusia  yang pada pandangan saya merupakan penjelasan terperinci   dan menarik daripada saudara ahli panel pertama.   Seterusnya, saya mohon  penjelasan daripada ahli panel kedua, saudara.......................................... tentang  kebaikan sains dan teknologi dari aspek kemudahan  komunikasi dan capaian maklumat seantero dunia  kesan ciptaan-ciptaan baru  dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Ahli Panel kedua
Terima kasih saudara pengerusi majlis
Yang dihormati ahli panel dan sidang hadirin
Assalamualaikum, salam sejahtera, salam satu Malaysia.

Sains dan teknologi  sememangnya  memberikan banyak maslahat kepada manusia dalam aspek  kemudahan telekomunikasi.

Pada era pascaglobalisasi ini , yang jauh  kian terasa dekat.   Kemudahan alat telekomunikasi   telefon internet percuma seperti ‘line’, ‘………’  dan’……’ benar-benar memudahkan komunikasi  sesama ahli keluarga, sesama sahabat , sesama rakan niaga   tanpa mengira batasan waktu dan    sempadan geografi.

Begitu juga dengan kewujudan  laman sembang seperti whatsapp, telegram  dan weechat yang turut  menyemarakkan dunia telekomunikasi kerana dapat membantu mengeratkan perhubungan bukan sahaja  individu dengan individu, malah komunikasi  secara berkumpulan.

Dalam pada itu.  laman media sosial seperti skype, faceook, tweeter,instagram, dan yahoo messanger juga turut menyumbang  terhadap  edaran maklumat dan   perhubungan telekomunikasi yang lebih pantas dan murah.

Era berhubung melalui surat kiriman yang mengambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk menyampaikan dokumen juga sudah berakhir. E-mel kini menjadi pengganti penghantaran maklumat dan dokumen yang lebih cepat dan pantas.

Pendek kata, kita sekarang berada dalam dunia tanpa sempadan dengan segala maklumat yang bertebaran di alam maya ini dapat kita akses  dengan segera melalui sentuhan jari jemari  kita.

Situasi ini tentulah memberikan banyak manfaat kepada manusia sarwajagat. Kini pembelajaran jarak jauh secara maya dapat dilaksanakan. Kemudahan telesidang  membantu  mahasiswa program jarak jauh menggenggan ijazah  tanpa  perlu berkejar-kejar ke tempat kuliah  saban hari.

Sekian sahaja daripada saya berhubung faedah ciptaan sains dan teknologi dari aspek penyebaran maklumat dan  komunikasi
Saya serahkan semula kepada saudara pengerusi majlis.

Pengerusi
     Terima kasih atas penjelasan  yang panjang lebar berhubung    manfaat ciptaan  sains dan teknologi dari aspek kemudahan komunikasi dan penyebaran maklumat.

      Saya bersetuju dengan pendapat ahli panel kedua tadi. Siapalah yang dapat menafikan betapa kehidupan kita sekarang menjadi lebih bermakna kerana kita dikelilingi sumber maklumat dan informasi terkini. Semuanya  dapat kita akses dengan mudah melalui internet yang sudah sedia dimasukkan aplikasinya ke dalam telefon bimbit dan gajet-gajet kita,   

     Selanjutnya, saya ingin mengemukakan soalan seterusnya kepada ahli panel ketiga, saudara...............................................sejauh manakah ciptaan sains dan teknologi ini memberikan manfaat kepada manusia dalam bidang perubatan dan pengeluaran

Ahli panel ketiga
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam  sejahtera
Terima kasih Saudara pengerusi.

Sahabat-sahabat ahli panel dan sidang hadirin yang  dihormati

Terima kasih saudara pengerus. Soalan yang sungguh menarik daripada saudara pengerusi iaitu tentang manfaat yang kita peroleh daripada perkembangan dalam bidang perubatan dan pengeluaran.

Jika kita telusuri  manfaat yang telah kita peroleh daripada teknologi dalam bidang perubatan ternyata terlalu banyak . Sebagai tamsil, ciptaan teknologi  inkubator mampu menyelamatkan  jutawan nyawa manusia kecil lagi comel yang dilahirkan kedunia dalam keadaan tidak cukup bulan atau istilah perubatannya bayi pramatang.

Selain itu,  sidang hadirin, kaedah rawatan kemoterapi dan radioterapi telah banyak membantu pesakit kanser untuk meneruskan hidup.  Kaedah  rawatan moden tersebut membantu mematikan sel-sel kanser yang telah membiak, memamah rakus tubuh mangsa dalam senyap. Walaupun bukan semua pesakit kanser sembuh melalui rawatan ini, namun sebahagiannya  telah dapat meneruskan hidup , kembali segar setelah sel kanser lenyap dari tubuh masing-masing.

   Teknologi pengimejan dan pengesanan penyakit yang kita kenali sebagai mesin X ray dan mesin Scan dalam Bahasa Inggeris juga mampu memberikan maklumat  awal dalam mengesan penyakit sebelum doktor memberikan rawatan bersesuaian.  Masalah organ dalaman seperti paru-paru berair dan penyakit TB dapat dikesan melalui X ray, mana kala patah kaki  atau patah tulang rusuk dapat dilihat bentuknya supaya doktor
dapat menyediakan kaedah rawatan yang tepat.    Begitu juga teknologi scan bukan sahaja mampu mengenal pasti jantina bayi, malah dapat mengimbas kecacatan yang terdapat pada bayi tersebut. 

     Kita juga berasa  bersyukur kerana teknologi  perubatan juga  mampu mengenal pasti dan  merawat  pesakit jantung yang mengalami saluran injap tersebut melalui kaedah angiogram dan angioplasty .

    Selain itu, penggunaan teknologi juga mampu meningkatkan pengeluaran dalam kegiatan ekonomi seperti pertanian dan perindustrian. Penggunaan teknologi moden telah mengurangkan tenaga buruh dan menjadikan proses  pengeluaran berjalan lebih lancar dengan hasil yang optimum. Tamsilnya, penggunaan teknologi dalam pengeluaran makanan dan pembuatan kereta. Kerosakan dalam proses pembuatan juga dapat dielakkan  dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi.

    Pendek kata, sains dan teknologi sememangnya mampu memberikan manfaat kepada manusia  Sarwajagat.
Terima kasih. Kembali kepada saudara pengerusi majlis

Pengerusi majlis
Terima kasih ahli  panel ketiga atas cetusan minda dan idea bernas lagi berasas yang diutarakan tentang manfaat  sains ada teknologi dalam bidang perubatan dan  pengeluaran.

Tak  tumbuh tak melata
Tak sungguh orang tak kata

Cetusan idea kesemua ahli panel tentang peri pentingnya sains dan teknologi sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi.

Kita tidak dapat menafikan besarnya peranan sains dan teknologi dalam membantu urusan hidup kita baik di rumah, di tempat kerja dan di tempat-tempat awam. Lantaran pembangunan sains dan teknologi perjalanan sebulan menjadi sehari, yang jauh menjadi dekat, yang berat menjadi ringan, yang hangat menjadi dingin, yang dingin menjadi hangat, yang mustahil menjadi kenyataan.

Demikian  hebatnya impak sains dan teknologi dalam kehidupan kita.
Namun demikian, diskusi kita pada hari ini juga akan turut membicarakan implikasi negatif  rentetan perkembangan sains dan teknologi. Orang tua-tua ada berpesan lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan  bermaksud yang baik jangan lekas diterima  dan yang nampak buruk jangan lekas ditolak. Justeru , kita harus mempertimbangkan baik buruk sesuatu perkara sedalam-dalamnya.

Oleh itu,  soalan saya kepada ahli panel pertama adalah tentang kesan negatif sains dan teknologi dalam peningkatan jenayah siber Bagaimanakah jenayah siber  berlaku dan menimbulkan kemudaratan kepada kesejahteraan manusia. Silakan ahli panel pertama, saudara…………………….

Ahli panel pertama
Terima kasih saudara pengerusi forum. Soalan yang sungguh menarik. Dalam kita asyik membicarakan segala manfaat dan indahnya ciptaan  sains dan teknologi, usahlah kita alpa dan leka dengan musibah  yang mungkin bakal menimpa diri kita  kesan sains dan teknologi.

Saudara pengerusi forum, ahli panel dan Sidang hadirin .

Mutakhir  ini kita berdepan dengan dunia tanpa sempadan dengan Dasar langit terbuka. Kita hidup dalam dunia global dengan  segala maklumat internet di seluruh dunia di hujung jari dan bebas diperoleh Jaluran komunikasi terbuka luas dengan kewujudan pelbagai laman social seperti facebook dan my space yang membolehkan komunikasi antarabangsa berlaku tanpa sebarang sekatan. Tanpa kita sedari kita terdedah dengan jenayah siber.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Mazlan Osman dan Amri Abdul Rahman dari UiTM, jenayah siber biasanya ditakrifkan sebagai aktiviti jenayah yang berkaitan dengan teknologi dan komputer menerusi Internet .

    Antara contoh jenayah siber ialah Penipuan
Kerosakan atau pengubahsuaian ke atas program atau data komputer.
Kecurian maklumat, ,apaian secara tidak sah ke atas sistem
Menyalin perisian secara tidah sah. Pengintipan, Judi siber
 Skimcepatkaya Pornografi Penggodam atau "Hacker"
dan Penyebaran virus dan Mel Spam

   Jenayah siber   tidak mengenal usia, jantina dan bidang kerjaya. Daripada kanak-kanak, remaja,dewasa dan warga emas tidak terkecuali terlibat sama ada menjadi mangsa atau pemangsa.

    Berdasarkan  kajian Tingkah Laku Siber Belia Global yang dikeluarkan oleh Microsoft Corp. mendapati 33 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun di negara ini terdedah kepada pelbagai aktiviti siber termasuk jenayah buli dalam talian.  Malah, melalui kajian yang dijalankan bermula 11 Januari hingga 19 Februari lalu di 25 buah negara termasuk Malaysia itu mendapati satu pertiga remaja negara ini pernah menjadi mangsa buli siber.


Baru-baru ini berlaku insiden yang memalukan negara apabila seorang pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom berusia 23 tahun dipenjararakan kerana memiliki 30 000 video dan    gambar lucah yang dimuat turun dari internet.

Di  Malaysia, The Star melaporkan bahawa penipuan asmara melalui penyamaran di  internet melibatkan wanita  tersenarai sebagai jenayah komersial kedua tertinggi. Wanita-wanita ini terpedaya dengan pujuk rayu lelaki  yang menggunakan identiti palsu. Harian Metro turut melaporkan bahawa dalam 8 bulan pertama tahun 2014, seramai 774 wanita Malaysia telah diperdaya dengan jumlah kerugian sebanyak RM24juta. ‘

Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh jenayah siber yang berlaku baik di Negara kita atau di luar Negara, namun  cukuplah setakat ini saudara pengerusi.

Pesanan dari saya, usahlah kita membiarkan sains dan teknologi mendominasi minda dan tingkah laku kita. Usah menunggu sehingga langit runtuh dan bumi cair iaitu musnah segalanya baru kita mahu mencari solusi. Ibarat sudah terhantuk baru berngadah,  lalu ketika nasi sudah menjadi bubur dan belukar sudah menjadi bubur, rasa sesal baru bertandang
Terima kasih
kembali kepada saudara pengerusi.

Pengerusi
Terima kasih ahli panel pertama…………………………………………kerana sedia berkongsi tentang kemudaratan menggunakan  internet  sehingga berlaku penyalahgunaan dan mengundang keterbabitan dalam jenayah siber. Suatu yang sangat mendukacitakan kerana jenayah ini tidak mengenal mangsa sehingga kanak-kanak yang tidak berdosa juga menerima padah

Seterusnya , saya ingin mengajukan soalan kepada ahli panel kedua, saudara………………………….tentang mudarat dari segi   renggangnya hubungan  kekeluargaan yang menjadi pencetus kepada masalah –masalah lain dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.


Ahli panel kedua
Terima kasih saudara pengerusi.
Ahli-ahli panel dan sidang hadirin

Sungguh saya tidak pernah menolak segala maslahat  atau manfaat yang dapat kita peroleh daripada perkembangan sains dan teknologi yang bergerak pantas pada hari ini. Namun kelebihan daripada lbagai sudut juga turut mengundang musibah yang kadang-kadang tidak kita sedari.

Saya ingin menyentuh lebih khusus tentang kesan penggunaan  internet sebagai ciptaan sains dan teknologi yang boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan

Pada hari ini kemudahan telefon pintar menyaksikan setiap hari keluarga memiliki telefon pintar. Pulang  ke rumah ibu dan ayah kadang-kadang sibuk melayani    rakan-rakan dalam laman sembang masing-masing. Anak-anak remaja juga berada  di dalam bilik masing-masing  dan asyik melayari internet . Anak-anak seawal umur 5 dan 6 tahun sudah dibelikan gajet-gajet yang menyebabkan mereka asyik dengan pelbagai permainan maya.

Implikasinya, hubungan mesra dalam keluarga lama kelamaan menjadi renggang. Ibu bapa dan anak-anak kurang berinteraksi,  anak-anak  menjadi lebih mesra dengan rakan-rakan sebaya dan apa yang paling ditakuti ialah  anak-anak lebih mempercayai dan menyayangi rakan-rakan daripada ibu bapa

   Selain  itu, hubungan yang kurang erat dalam keluarga  juga menjadi pencetus kepada masalah lain iaitu  masalah   penguasaan bahasa , pembelajaran dan keyakinan  diri serta kemahiran sosial

     Menurut  kajian Profesor Atan Long dalam buku Psikologi pendidikan  (1978) , beliau menyatakan bahawa antara faktor persekitaran yang mempengaruhi kanak-kanak ialah hubungan dalam keluarga, iaitu hubungan kanak-kanak dengan orang dewasa yang mempengaruhi penguasaan bahasanya. Kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang dan tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa merencatkanperkembangan bahasanya dan seterusnya akan mengakibatkan 
akan rendah pencapaian aakademik mereka sekaligus menjadikan anak-anak ini anak yang terbiar.

Situasi ini seterusnya akan memberikan kesan terhadap keyakinan diri dan kemahiran bersosial anak-anak. Anak-anak yang kurang bergaul dengan orang ramai akan menghadapi masalah komunikasi  apabila  meningkat remaja dan mungkin menghadapi masalah  yang sama apabila sudah dewasa dan meneroka alam kerjaya.
   Kesimpulannya, di sebalik manfaat sains dan teknologi, kita  perlu bijak  menggunakannya bukan menyalahgunakannya. Sekian terima kasih. Kembali kepada saudara pengerusi forum.

Terima kasih saudara pengerusi forum
Rakan-rakan ahli panel dan  sidang hadirin

Biarpun melalui bidang perubatan ciptaan sains dan teknologi mampu menyelamatkan nyawa manusia , namun dalam peperangan sebaliknya berlaku.
Sains dan teknologi membawa kepada kemusnahan melalui kecanggihan senjata Yang dicipta. Semasa perang dunia kedua contohnya, Bandar Hiroshima pada 6 ogos 1945  dan Nagasaki pda 9 ogos 1945   musnah  bagaikan padang jarak padang terkukur akibat pengguguran bom atom, ciptaan nuklear dari  Barat. Sejumlah 140,000 orang terbunuh di Hiroshima dan 75 000 orang di Nagasaki.

Pada tahun  1986, di Ukraine, sekali lagi berlaku tragedy yang berkaitan dengan tenaga nuclear. Loji Nuklear di Chernobyl  telah meletup dan menyebabkan penyebaran radiasi melibatkan tiga buah Negara Kesatuan Soveit  iaitu Belarus, Ukraine dan Russia. Radiasi  daripada tenaga nuklear ini memberikan kesan yang negative  terhadap manusia iaitu menjadi  pencetus kepada merebaknya sel-sel kanser dalam tubuh manusia. Tragedi tersebut melibatkan 60 000 kehilangan nyawa manusia.

Saudari pengerusi dan ahli forum

Kemajuan sains dan teknologi juga membunuh manusia bukan sahaja yang berada dalam kancah peperangan, malah di rumah.  Teknologi pemakanan menyaksikan ribuan produk makanan segera dicipta. Makanan-makanan ini memang enak di makan, sedap dirasa, sentiasa membuka selera, pantas dan mudah disediakan, namun di sebalik kebaikan-kebaikan itu terkandung seribu satu macam keburukan. Pewarna tiruan, pengawet, MSG dan lain-lain kandungan bahan yang kadang-kadang kita tidak pernah ambil pusing apakah dia, membunuh kita dalam senyap.
Penambahan kalesterol dalam badan yang membawa penyakit jantung, obesiti, penyakit darah tinggi dan kanser merupakan antara  kesan-kesan pengambilan makanan segera dan makanan dalam tin yang terhasil daripada kecangihan sains dan teknologi.
Terima  kasih kembali kepada saudara pengerusi forum
Pengerusi
Terima kasih saudara ahli panel ketiga. Demikian tadi, para ahli panel telah merungkaikan enam persoalan berhubung kait  manfaat dan mudarat sains dan teknologi  dalam kehidupan manusia sejagat.
Ahli panel dan sidang hadirin yang dihormati.
Saya persilakan ahli panel kita untuk membuat rumusan dan  menyimpulkan intipati  bual bicara kita pada hari ini dengan kalimat tuntas .z

Ahli panel 2
Izinkan saya  membuat rumusan  saudara pengerusi.

pengerusi
Silakan saudara………………………….. z

Ahli panel 2
Rumusan saya, sains dan teknologi sememangnya membawa banyak manfaat  kepada manusia  sekiranya manusia. Ciptaan sains dan teknologi telah banyak membantu manusia hidup selesa dan bahagia.

Pengerusi
Terima kasih, saya juga bersetuju dengan saudara ahli panel kedua. Bagaimana dengan ahli-ahli panel yang lain?

Ahli panel  3
Secara tuntasnya, sains dan teknologi yang membawa manfaat kepada manusia juga boleh membawa mudarat sekiranya manusia yang tidak bertanggungjawab bertindak menyalahgunankannya .
Pengerusi
Terima kasih ahli panel ketiga , dipersilakan pula ahli panel   pertama  untuk membuat  rumusan  
Ahli panel  1
Saudara pengerusi  forum, ahli panel   dan   sidang hadirin.
Kesimpulannya, sains dan teknologi  akan memberikan banyak kemaslahatan kepada manusia seandainya manusia sebagai pencipta dan pengguna  mampu melaksanakan aktiviti pembangunan sains dan teknologi dengan mengambil kira kesan negatif terhadap pelbagai aspek. Oleh itu, solusi atau  langkah penyelesaian turut perlu dirancang sebaiknya agar pokok permasalahan dapat dicantas demi kesejahteraan manusia
Pengerusi.
Terima kasih saudara ahli panel pertama.
Sebagai akhirul kalam , Manusia merupakan khalifah di muka bumi ini. Manusia diberikan akal fikiran untuk memacu kemajuan dan mengurus tadbir di dunia. Sehubungan dengan itu, kepesatan pembangunan sains dan teknologi perlu diuruskan, perlu ditadbir dan dimaksimumkan penggunaannya demi kemaslahatan manusia sejagat. Hanya keutuhan dari segi rohani melalui pendidikan agama dan  moral  mampu menjadi senjata ampuh menangkis serangan pembangunan teknologi dan impak negative globalisasi .

Sekian dari saya ………………………………………..selaku pengerusi forum. Segala kelemahan   tutur bicara dan  tingkah laku, saya pohon kemaafan. Sesungguhnya yang baik dan benar datangnya daripada Allah dan yang salah dan silap itu daripada kelemahan saya sendiri.
Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warohmatullah, salam sejahtera, salam I Malaysia, salam forum remaja.





    

Comments

  1. Mohon izin untuk menggunakan teks ini sebagai contoh . Terima kasih cikgu!

    ReplyDelete
  2. saya nk guna utk ujian lisan boleh??

    ReplyDelete
  3. saya izinkan untuk berkongsi. teks ini juga sudah disedut oleh pihak lain yang mengaut keuntungan. boleh dapatkan free sahaja di sini.

    ReplyDelete
  4. Izinkan saya gunakan teks ini sebagai rujukan

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5