kongsi ilmu dari blog lain : Karangan tentang gejala sosial

Antara topik yang disasarkan akan diuji dalam soalan penulisan Bahasa Melayu SPM ialah GEJALA SOSIAL .  . Kesuntukan masa menyebabkan  saya tak mampu menjana contoh karangan buat pelajar, namun saya paparkan karangan model daripada beberapa blog.


 http://missfeeya95.blogspot.com

Faktor   Gejala sosial dalam kalangan Remaja

        Berita Harian,12 Julai 2001 lalu telah melaporkan bahawa dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1989 hingga  tahun 1998,kadar jenayah membabitkan remaja meningkat sebanyak 35 peratus bagi lelaki dan 25 peratus bagi perempuan.Statistik ini menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan “pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara”.Persoalannya,jika remaja kita musnah sebagai akibat keseronokan yang sementara ini,siapakah yang akan terus memperjuangkan nasib negara kita? Justeru,senario ini mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak termasuklah golongan ibu bapa,guru,masyarakat,dan negara. Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah digembleng bagi mengatasi kemelut ini.Namun begitu,apakah punca kepada kegagalan tersebut?

        Kemelut ini sebenarnya bermula daripada diri remaja itu sendiri.Perkataan remaja atau adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolescere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang”.Menurut Kamus Dewan,Edisi Ketiga,remaja merupakan seorang yang mulai dewasa,sudah akil baligh,dan sudah cukup umur untuk berkahwin.Dari segi perspektif Islam pula,remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh.Pada peringkat ini,golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.Apabila mengaitkan diri remaja dengan gejala sosial yang semakin berleluasa pada hari ini,kita dapat melihat sikap ingin mencari sesuatu yang baharu atau sikap ingin tahu yang ada dalam diri remaja sebagai satu faktor yang utama.Sikap ingin tahu memang wujud dalam diri remaja.Lazimnya mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu.Setiap perkara yang terlarang,itulah yang ingin diterokai oleh mereka.Contohnya,fenomena lumba haram yang terjadi akibat keinginan remaja untuk menunjukkan belang mencerap keseronokan bersama rakan sebaya.Selain itu,masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya.Menurut Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi,masalah dadah yang merupakan masalah utama,masih merupakan ancaman besar negara.Hal ini membuktikan,betapa seriusnya masalah dadah.Lebih-lebih lagi,gejala ini melibatkan golongan remaja.

         Selain itu,remaja kini lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut atau terpengaruh dengan gaya dan cara hidup orang lain.Kita dapat lihat pada hari ini,budaya asing semakin mempengaruhi hampir semua aspek kehidupan remaja seperti cara pemakaian,makanan mahupun cara pemikiran.Remaja seolah-olah mengagung-agungkan budaya asing.Mereka beranggapan bahawa budaya asing yang diikuti adalah cara hidup moden yang seiring dan sesuai dengan dunia yang kini semakin canggih dan moden.Sebaliknya,mereka menganggap bahawa cara hidup berlandaskan ajaran agama adalah kuno dan tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman moden ini.Justeru,hal ini menyebabkan remaja tidak mempunyai pegangan dalam hidup dan bertindak menjalani kehidupan mengikut cara mereka sendiri.Apabila keadaan ini terjadi,remaja akan mudah terjebak dengan pelbagai gejala yang tidak sihat.Antara contoh yang paling releven ialah budaya ‘black metal’ dalam kalangan remaja yang lahir sebagai akibat daripada pengaruh budaya asing.

     Di samping itu,ibu bapa turut menjadi faktor perdana apabila membincangkan isu yang melibatkan remaja.Hal ini kerana ibu bapa sering dikatakan sebagai individu yang dekat dengan remaja dan banyak mempengaruhi proses pembentukan diri remaja.Namun begitu,ibu bapa kini mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka terhadap anak-anak.Hal ini kerana ibu bapa kini rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka.Keadaan ini menyebabkan remaja membesar tanpa belaian kasih sayang dan perhatian daripada kedua ibu dan bapa.Di sinilah timbulnya perasaan seolah-olah diri remaja tidak dihargai dan terabai.Lebih-lebih lagi,apabila remaja berhadapan dengan masalah keluarga.Menurut Dr. Syed Hasan Ahmad,apabila remaja membuat andaian bahawa ibu bapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan berlaku perkara tidak diingini dalam keluarga terbabit,remaja itu akan berasa marah,kecewa,dan memendam perasaan. Justeru,remaja mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan dan jenayah kerana mereka merasakan kehidupan menjadi kosong sebagai akibat keperluan emosi mereka yang tidak dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa.Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan aset signifikan dalam membentuk diri remaja.

      Disuntik nilai tambahnya,kurang didikan agama dan moral turut menjadi punca gejala sosial dalam kalangan remaja.Pendidikan agama dan moral perlu diberi keutamaan sejak anak-anak masih kecil lagi kerana didikan yang cukup dan sempurna menjadi benteng yang kukuh untuk menangkis segala anasir yang tidak baik seperti merokok,melepak,dan kegiatan lumba haram.Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan peribahasa yang menjelaskan kepada  kita betapa pentingnya anak-anak dididik sejak kecil dengan didikan agama dan moral.Akhbar Utusan Malaysia,30 September 2002,menyatakan bahawa sikap terpedaya dan sukar mengawal nafsu dikenalpasti sebagai antara punca utama berlakunya gejala kehamilan luar nikah yang seterusnya mengundang gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja.Di sini kita dapat melihat peranan didikan agama dan moral dalam diri remaja kerana kita yakin dan percaya bahawa apabila mereka mengetahui hukum-hukum agama,sudah pasti mereka tidak akan menjerumukan diri ke dalam perkara yang ditegah oleh Tuhan.Selain itu,Nabi Muhammmad S.A.W. sendiri mengingatkan kita agar meninggalkan akhlak yang buruk demi melahirkan jiwa yang bersih dan tenang.Izharnya,mereka yang terlibat dengan gejala sosial adalah mereka yang tidak menghayati ajaran agama.Ingatlah “agama tanpa ilmu adalah buta,,manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh”.

      Tambahan pula,selain ibu bapa,rakan sebaya turut menjadi punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja.Hal ini kerana rakan sebaya merupakan individu yang rapat dengan remaja selain ibu bapa.Malah remaja kini lebih banyak meluangkan masa dengan rakan berbanding dengan keluarga.Hal ini menyebabkan remaja terlalu mempercayai rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja bersama-sama tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut.Selain itu,remaja takut diri mereka akan dipinggirkan daripada kumpulan rakan-rakan sekiranya tidak mengikut perbuatan mereka.Contohnya,apabila sekumpulan pelajar merokok,pasti remaja dalam kumpulan tersebut akan didesak supaya melakukan perbuatan yang sama.Keadaan ini akan menimbulkan konflik  dalam diri remaja yang tidak mahu disisihkan atau dianggap tidak berani mencuba.Akhirnya,remaja akan memilih untuk menyertai rakan dengan mengikut perbuatan mereka itu.Dalam hal ini,remaja perlu sedar bahawa mereka perlu bijak memilih rakan.Hal ini kerana apabila berkawan dengan penjual minyak wangi,harumnya akan melekat pada badan kita,manakala apabila berkawan dengan tukang besi,bahang kepanasan akan turut kita rasai.Jelaslah bahawa rakan sebaya turut memainkan peranan yang penting dalam pembentukan diri remaja.

         Di samping itu,pihak sekolah lebih mementingkan prestasi akademik pelajar berbanding pembentukan sahsiah diri pelajar.Berdasarkan makalah yang dipetik daripada Dewan Masyarakat keluaran bulan Mei 2004,terdapat sekumpulan pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang,yang bertindak ganas memukul seorang pelajar lelaki sehingga patah tulang rusuk kanannya.Apabila disiasat,puncanya begitu remeh namun kemelut yang dicetuskan menggemparkan negara berikutan persepsi pelajar sekolah yang cemerlang akademiknya turut terlibat dalam gejala yang tidak sihat seumpama ini.Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa remaja kini hanya diberi penekanan terhadap prestasi akademik dan tidak diberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah diri remaja.Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja.

         Akhir sekali,banyak faktor yang menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja.Semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan sempurna supaya dapat mengelakkan fenomena ini daripada terus berleluasa.Gejala-gejala sosial ini sememangnya boleh ditangani andai terdapat sinergi daripada semua pihak.Bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.Sesungguhnya,remaja merupakan harapan bangsa.Oleh itu,masalah yang membabitkan golongan remaja tidak wajar dibiarkan begitu sahaja tanpa ada titik noktahnya.
        
Posted by Miss Feeya at 20:27 




PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI MASALAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
 

Banyak pendapat mengatakan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga.

Jelaskan peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

Tema/isu – masalah sosial dalam kalangan remaja

Tugasan – peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini

Idea
i.                     Perhatian dan kasih sayang daripada keluarga
ii.                   Didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak
iii.                  Mengawal pergerakan anak-anak
iv.                 Hubungan suami isteri yang harmoni


Masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini telah membimbangkan banyak pihak. Hampir setiap hari berita-berita mengenai masalah sosial yang melibatkan golongan remaja terpampang dalam media massa sama ada media cetak ataupun media elektronik. Berita-berita seperti pergaulan bebas, lari dari rumah, ponteng sekolah, melepak di pusat membeli-belah, merempit, bohsia, meminum minuman keras, pembuangan bayi  dan pelbagai lagi telah menghiasi dada-dada akhbar tempatan negara kita. Apakah punca berlakunya demoralisasi dalam kalangan remaja pada masa ini? Apakah tiada jalan penyelesaian untuk menanganinya? Bagaimanakah peranan keluarga bagi membendung gejala ini? Persoalan-persoalan ini sukar untuk dijawab jika tiada usaha yang konkrit daripada pelbagai pihak untuk menanganinya. Banyak pendapat mengatakan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga. Saya bersetuju dengan pendapat tersebut kerana keluargalah yang boleh memainkan peranan bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

Perhatian dan kasih sayang keluarga memainkan peranan dominan bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Keluarga khususnya ibu bapa perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang penuh supaya mereka tidak terjebak dalam gejala sosial sehingga boleh menconteng arang ke muka ibu bapa. Remaja akan keluar rumah dan mencari rakan-rakan untuk meluahkan masalah yang dihadapi jika tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Tuntutan kerja dan sikap materialistik masyarakat pada hari ini telah menyebabkan tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak telah diserahkan kepada pembantu rumah. Mereka tiada masa untuk mendampingi anak-anak kerana tugas-tugas luar yang kadang-kadang memakan masa berhari-hari. Hal ini demikian telah menyebabkan anak-anak tiada tempat untuk mengadu dan menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka seperti tekanan menghadapi peperiksaan, konflik dengan rakan, tiada buku rujukan dan sebagainya. Akibatnya, mereka akan keluar rumah untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Menurut pengakuan salah seorang remaja yang ditangkap dalam serbuan di salah sebuah kelab malam di ibu kota minggu lalu, dia tidak rasa bersalah keluar pada waktu malam dan berseronok di kelab-kelab malam kerana ibu bapanya sering keluar daerah sehingga berminggu-minggu lamanya. Dia tidak mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa di rumah. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah sering mengingatkan ibu bapa supaya memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak terutama anak-anak remaja kerana pada peringkat ini mereka perlu sokongan dan dorongan bagi membuat pilihan dalam hidupnya.  Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa perhatian dan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa amat penting bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

Selain itu, mendidik anak-anak dengan asas agama dan nilai moral juga merupakan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. Didikan agama dan nilai moral merupakan indikator yang sangat penting bagi mencegah seseorang individu daripada melakukan perkara yang mungkar. Didikan agama akan menjadi abar kepada remaja daripada terjebak dalam masalah sosial seperti pergaulan bebas, minum minuman keras dan melakukan seks bebas. Hal ini demikian kerana ketaqwaan yang telah kejap dalam sanubari remaja dapat menjadi benteng kepada mereka daripada melakukan maksiat. Mereka dapat membuat pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu perbuatan. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan asas-asas ketaqwaan dalam diri anak-anak sejak kecil kerana pada peringkat ini mereka mudah untuk dibentuk kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa yang bertaqwa akan memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama yang mencukupi. Masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah berpunca daripada sikap ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka memberikan didikan agama yang mencukupi kepada anak-anak mereka. Mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran tetapi tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab mereka memberikan didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak. Apabila asas agama tidak kukuh, maka mereka mudah terperangkap dalam masalah-masalah seperti seks bebas dan pembuangan bayi. Mufti Kelantan, Datuk Hj. Shukri Muhammad mengingatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak dengan asas-asas agama yang kukuh bagi mengelakkan anak-anak remaja terjerumus dalam kemaksiatan. Beliau melahirkan kebimbangannya kerana kes-kes yang melibatkan golongan remaja seolah-olah sudah mencapai tahap yang kronik. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, didikan agama yang teguh mampu mengelakkan remaja terlibat dalam masalah sosial.

Di samping itu, keluarga juga perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Tugas mendidik anak-anak pada zaman ini sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan ibu bapa pada zaman dahulu. Dalam hadis ada menyebut supaya mendidik anak-anak mengikut zaman. Pada zaman dahulu, anak-anak tidak keluar rumah kerana  tiada tempat untuk berhibur. Hal ini berbeza jika dibandingkan pada masa sekarang. Pada masa ini ibu bapa perlu mengetahui pergerakan anak-anak mereka kerana cabaran dunia globalisasi kini menuntut  ibu bapa supaya sentiasa memastikan anak-anak mereka  terhindar daripada pengaruh  budaya kuning yang boleh merosakkan minda mereka. Ibu bapa perlu merancang pergerakan anak-anak, mengetahui kawan anak-anak mereka, bertanyakan tempat anak-anak ingin pergi dan menetapkan masa pulang supaya mereka sentiasa dalam kawalan keluarga. Hal ini penting kerana masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah berpunca daripada kurangnya kawalan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kawalan yang kurang menyebabkan anak-anak menjadi bebas kerana mereka menganggap keluarga mereka tidak mempedulikan mereka. Oleh itu, anak-anak akan melakukan perkara yang tidak baik seperti merokok, melepak, merempit dan tidak pulang ke rumah. Jika keluarga mengawal pergerakan anak-anak, masalah sosial tidak akan berlaku kerana anak-anak berasakan keluarga mereka sentiasa memerhati dan mengikuti setiap pergerakan mereka. Anak-anak akan lebih berhati-hati jika ingin melakukan sesuatu perkara yang tidak baik. Sebagai contoh, anak-anak akan pulang ke rumah seperti yang diperintahkan oleh keluarga kerana tidak mahu ibu bapa mereka risau jika tidak pulang mengikut masa yang ditetapkan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal anak-anak mereka supaya masalah sosial dalam kalangan anak-anak remaja dapat ditangani dengan berkesan.


Akhir sekali, ibu bapa perlu memastikan hubungan antara mereka sentiasa harmoni bagi mengelakkan anak-anak remaja terlibat dalam masalah sosial. Hubungan suami isteri yang harmoni amat penting bagi membina keluarga yang bahagia. Anak-anak akan berasa seronok apabila berada di rumah apabila hubungan antara ahli keluarga menjadi rapat. Ibu bapa yang berjaya mewujudkan hubungan yang mesra antara ahli keluarga mampu mewujudkan keluarga mawaddah. Perkara yang menjadi masalah sekarang adalah ada ibu bapa yang terang-terangan bergaduh di hadapan anak-anak terutama anak-anak yang sudah remaja. Pergaduhan ini akan menyebabkan anak-anak berasa tertekan. Mereka akan bertindak keluar rumah untuk menenangkan fikiran. Anak-anak ini akan mencari rakan yang boleh memberikan ketenangan kepada dirinya. Jiwa yang renyah ini sangat mudah untuk diperdaya oleh rakan-rakan yang sudah rosak akhlaknya menyebabkan mereka akan terjerumus dalam masalah sosial. Menurut salah seorang remaja yang ditangkap dalam serbuan  kerana terlibat dalam pesta seks di Kedah tahun lalu mengaku terpedaya dengan ajakan rakan-rakan kerana kecewa dengan sikap ibu bapanya yang sering bergaduh walaupun melibatkan isu yang remeh-temeh. Kes ini amat relevan dengan saranan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abdul Rahman semasa berucap sempena majlis polis bersama komuniti di Kota Bharu baru-baru ini yang mengingatkan para ibu bapa supaya mengambil tahu akan masalah anak-anak dan mengawal pergerakan mereka kerana statistik remaja yang terlibat dalam perlakuan jenayah di Kelantan semakin meningkat. Jadi, jelas menunjukkan bahawa hubungan yang harmoni antara ibu bapa dan ahli keluarga dapat mewujudkan suasana yang kondusif di rumah. Jika hal ini berlaku, saya pasti anak-anak remaja tidak akan terlibat dalam masalah sosial sekali gus institusi keluarga dapat dikukuhkan.

Kesimpulannya, keruntuhan institusi keluarga mempunyai kaitan dengan masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Ibu bapa perlu memastikan supaya institusi keluarga yang dibina sentiasa kukuh dengan asas-asas agama yang mantap. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk anak-anak yang tinggi nilai budi dan jati diri. Anak-anak yang membesar dalam situasi yang sedemikian mampu mengawal diri mereka daripada terlibat dalam masalah sosial. Jika keadaan ini dapat diwujudkan oleh ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga, maka keluarga mawaddah dapat dilahirkan. Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semasa berucap sempena majlis penutup Hari Keluarga Mawaddah di Taman Tengku Anis dua hari lepas mengingatkan ibu bapa supaya mengukuhkan ilmu keibubapaan dalam diri masing-masing bagi memudahkan mereka menguruskan rumahtangga dengan cemerlang. Jadi ibu bapa hendaklah berusaha memastikan institusi keluarga sentiasa kukuh agar masyarakat madani mengikut acuan negara kita dapat dilahirkan suatu hari nanti.


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5