Karangan Model Nukilan pelajar-Ciri-ciri Remaja Berwawasan

Saya tidak  ingat , siapakah pelajar yang menulis karangan ini, namun karangan ini saya nilai sebagai antara hasil yang terbaik yang saya peroleh daripada pelajar saya  dalam sesi pembelajaran dan pengajaran Penulisan Karangan respons Terbuka .

CIRI-CIRI- REMAJA BERWAWASAN



    Jatuh bangun dan maju mundurnya sebuah negara bergantung kepada sumber modal insan berkualiti terutama generasi muda.  Mantan Presiden Indonesia Al marhum Soekarno pernah menyebut sekiranya kita ingin melihat keadaan negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya hari ini” Hal ini bermakna generasi muda merupakan harapan utama untuk memastikan pembangunan negara terlaksana seterusnya memastikan pencapaian Matlamat Wawasan 2020 direalisasikan  .    Oleh  itu, kita sebagai golongan remaja haruslah mempunyai ciri-ciri remaja  yang berwawasan. Hal   ini selaras dengan slogan   "Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara". Sehubungan dengan itu, ciri-ciri  berwawasan ini haruslah disemai ke dalam diri setiap remaja dari kecil lagi, bak kata mutiara, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Namun demikian, persoalan yang kian berlegar di fikiran kita ialah apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan?
   Antara ciri- ciri afdal remaja berwawasan ialah remaja yang rajin menimba ilmu pengetahuan . Remaja yang rajin menimba ilmu selalunya tidak suka membazirkan masa dengan begitu sahaja kerana bagi mereka “ masa itu emas”. Oleh itu, masa akan diluangkan secara bijak dengan mempraktikkan amalan    membaca.  Remaja yang berwawasan menyedari seyogianya membaca itu jambatan ilmu,., remaja haruslah memberi perhatian tatkala guru sedang mengajar di sekolah supaya ilmu diberi oleh guru tidak seperti “ mencurah air ke daun keladi”. Sehubungan itu, seorang remaja yang berwawasan juga akan sentiasa berkunjung ke perpustakaan kerana perpustakaan merupakan pusat khazanah ilmu. Pelajar dapat mencari pelbagai jenis buku ilmiah untuk menambah ilmu pengetahuan dan tidak akan menjadi seorang yang “katak di bawah tempurung”. Seorang remaja yang berwawasan juga boleh mengamalkan amalan "sehari sebuku". Kemaslahatan membaca telah dijelaskan dalam wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Imam al-Ghazali pernah berkata, “ciri yang membezakan antara manusia dengan haiwan ialah ilmu. Manusia menjadi mulia kerana ilmunya dan bukan disebabkan oleh kekuatan dirinya”. Justeru, ilmu amat signifikan bagi setiap remaja untuk berjaya pada hari muka mereka.

   Selain itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja yang berwawasan ialah remaja yang sentiasa berfikiran positif.Remaja pada era globalisasi ini seyogianya bersikap terbuka untuk mempelajari pelbagai ilmu yang berguna. Oleh hal yang demikian, ilmu yang diperoleh tidak hanya terbatas kepada ilmu yang diperoleh melalui bahan-bahan berbentuk ilmiah sahaja, tetapi secara praktikal juga menerusi pengalaman hidup remaja. Remaja yang senantiasa berfikiran positif tidak akan berasa segan untuk menimba sesuatu yang baharu daripada rakan-rakan yang berlainan status. Misalannya, seorang pelajar yang daripada kelas terbaik di alma maternya tidak berasa silu untuk bertanya sesuatu soalan Matematik yang tidak dapat diselesaikannya daripada rakannya yang daripada kelas- kelas lain. Bukan itu sahaja, remaja sebegini tidak akan mudah berputus asa apabila menghadapi cabaran, malah berusaha dengan gigih kerana bagi mereka, “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Sebagai mithali, remaja di sekolah sepatutnya memiliki keyakinan diri yang tinggi terhadap kebolehan mereka untuk mencapai prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan. Kajian yang sahih lagi tepat menunjukkan bahawa remaja yang berfikiran positif mampu mengawal emosi mereka secara bijak,berkawan dengan orang yang berfikiran positif juga, bersenam dan mengambil makanan seimbang,tinggal di persekitaran yang membuatkan mereka berasa selesa dan hebat,mengambil sesuatu perkara yang susah sebagai suatu cabaran bagi meraih kejayaan kelak serta menjauhkan diri mereka daripada tekanan ataupun lebih dikenali sebagai “stress”. Ada satu peribahasa yang berbunyi seperti “Hendaklah kamu tulus seperti merpati dan cerdik seperti ular” dapat menggambarkan remaja yang berfikiran positif. Presiden Sukarno ada mengatakan bahawa “Kalau hendak melihat wajah negara pada masa akan datang,rupa generasi mudanya hari ini”. Oleh sebab itu, kita sebagai remaja haruslah sentiasa berfikiran positif. Dengan demikian,nescaya remaja berupaya ditakrifkan sebagai remaja yang berwawasan tinggi tanpa sebarang keraguan.
   
      Semua warga masyarakat sudahpun sedia maklum bahawa antara ciri-ciri penting yang harus ada pada remaja yang berwawasan ialah berakhlak mulia.Dalam hal ini,ibu bapa memainkan peranan penting sebagai uswah hasanah dalam mendidik anak sebagai seorang yang berakhlak mulia sejak azali lagi, persis kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.Hadis Nabi Muhammad S.A.W bersabda bahawa anak diibaratkan sebagai “kain putih”.Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak anak menjadi yahudi,nasrani atau majusi.Ghalibnya,akhlak mulia yang ditanamkan oleh ibu bapa mereka dalam jiwa remaja sejak akar umbi lagi akan dipraktikkan oleh remaja dalam kehidupan mereka.Misalnya,sikap menghormati orang tua dan baik hati.Oleh itu ,peranan ibu bapa tidak harus dialpakan dalam usaha membentuk remaja yang berwawasan tinggi.Tuntasnya,hasrat negara untuk melahirkan generasi muda yang akmal dapat direalisasikan apabila remaja berakhlak mulia.

   Tambahan pula,remaja yang berwawasan wajarlah mempunyai sikap berdisiplin dalam dirinya. Sebagai seorang remaja yang berwawasan,kita patutlah mempunyai pendirian diri yang kukuh. Hal ini demikian kerana seseorang yang berwawasan tinggi mempunyai satu matlamat hidup. Demi mencapai matlamat itu,seseorang itu mestilah tabah manghadapi cabaran hidup dan berdisiplin supaya seseorang itu berupaya mencapai matlamat itu dengan jayanya.Lebih-lebih lagi,kita patutlah menepati masa dalam membuat sesuatu perkara kerana masa itu umpama pedang jika kita tidak memotongnya,dia akan memotong kita.Dalam alam perniagaan,masa itu akan menetapkan nasib seseorang kerana dalam masa satu saat ekonomi Negara boleh merudum dan pada saat yang seterusnya akan naik mendadak. Bukan itu sahaja,kita juga patutlah mematuhi peraturan yang digubal oleh parlimen negara. Hal ini demikian kerana dengan adanya peraturan barulah seseorang insan dapat dikawal dan masyarakat yang aman dan damai dapat diwujudkan.Selain itu,kewujudan peraturan dalam kehidupan seharian kita akan membantu kita mendisiplinkan diri dan mengawal hawa nafsu kita supaya kita tidak mudah terjebak dalam gejala sosial.Ada pepatah yang berbunyi seperti “ Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka. Gejala sosial ini umpama duri di dalam daging sesebuah negara kerana masalah ini akan meruntuhkan maruah negara. Konsep ini bertentangan dengan konsep seseorang yang berwawasan kerana seseorang yang berwawasan akan memikirkan dan melakukan sesuatu yang akan membanggakan dan memajukan negara mereka. Sudah terang lagikan bersuluh bahawa sikap berdisiplin wajar dimiliki oleh seseorang remaja yang berwawasan.
  
    Tuntasnya, remaja merupakan aset negara yang amat berharga dan menjadi pelapis generasi yang cemerlang dan berwawasan dalam kalangan masyarakat.Oleh itu, -remaja haruslah diberikan perhatian supaya mereka menjadi remaja yang berwawasan tinggi. Semua pihak haruslah berusaha supaya negara kita tidak akan ketandusan remaja yang berwawasan. Hal ini demikian kerana remaja merupakan peneraju masa depan negara kita yang menentukan sama ada negara  ini akan gemilang dan terbilang pada masa depan ataupun akan mengalami kemunduran yang amat teruk. Seperti mana yang dikatakan oleh Thomas Edison “Kejayaan merupakan 1 peratus inspirasi dan 99 peratus usaha ”. Pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.










Comments

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5