LEGASI ZAABA -Program Pemantapan Tatabahasa Melayu STK
ZAABA atau Haji Zainal Abidin bin Ahmad merupakan Bapa persuratan Melayu. Melalui karyanya Pelita Bahasa Melayu ZAABA menyusun rumus Tatabahasa Bahasa Melayu yang menjadi asas dan dasar pembentukan tatabahasa Bahasa Melayu pada hari ini. Sehebat nama ZAABA, saya juga ingin pelajar-pelajar saya mewarisi iltizam yang ditunjukkan oleh ZAABA dalam menguasai nahu dan menyebarkan ilmu nahu kepada masyarakat.
Program pemantapan tatabahasa saya adakan agar pelajar-pelajar dapat memantapkan kemahiran tatabahasa mereka bukan sahaja untuk tujuan keperluan menjawab soalan peperiksaan SPM, malah untuk keperluan kecekapan berbahasa Melayu terutama dalam situasi rasmi di peringkat pengajian tinggi atau dalam lapangan kerjaya.
Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia-Nya , Allah berikan kepada saya kesempatan dan kelapangan masa untuk mengadakan program tersebut pada hari Rabu 4 dan 11 Jun tahun 2014. Pada siri pertama bengkel kehadiran pelajar agak memberangsangkan. Daripada 42 orang pelajar yang dipilih dan berdaftar, 32 orang pelajar telah hadir. Pada siri kedua program tersebut, seramai 15 orang pelajar telah hadir. Tidaklah ramai, namun cukuplah buat saya untuk meneruskan agenda memantapkan penguasaan tatabahasa pelajar . Saya sungguh memahami kekangan yang kalian hadapi. Sungguh tanpa izin-Nya, siapalah kita untuk.menentukan setiap langkah perjalanan hidup kita waima menghadiri Kelas tambahan di sekolah.
Syabas kepada semua pelajar yang hadir untuk berkongsi ilmu dengan saya. Semoga apa-apa yang kalian pelajari dapat dimanfaatkan untuk keperluan menghadapi peperiksaan
Paling utama kalian adalah insan bijak yang berjaya memanfaatkan masa cuti dengan aktiviti yang dapat memberikan kemaslahatan kepada diri.
Dengan izin Allah, saya berhasrat meneruskan perkongsian ilmu ini dengan Modul Penulisan Cemerlang dalam waktu yang terdekat ini. Harapan saya agar pelajar sudi membuka hati kalian untuk berkongsi ilmu saya yang sedikit cuma....
Comments
Post a Comment