Antara Soalan UPSR yang Bocor dan Peribahasa Melayu.
Alangkah tragisnya apabila nama guru se-Malaysia tercemar dek segelintir warga guru yang berbuat onar dan kononnya terlibat dengan kebocoran kertas Sains dan Bahasa Inggeris. Pelbagai versi cerita menjadi buah mulut dan meniti dari bibir ke bibir masyarakat Malaysia lalu diperkatakan , disebarkan dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial sehingga menjadi viral.
AL KISAH 1 : Kononnya ada guru di kawasan pedalaman Perak menyebarkan gambar-gambar soalan melalui aplikasi whatsapp setelah kertas soalan dihantar awal ke sekolahnya.
ALKISAH2 : Kononnya ada guru memberikan skema jawapan bahasa Inggeris kepada murid - murid dan meminta mereka menghafalnya sehari sebelum peperiksaan.
AL KISAH 3 : Kononnya ada guru penggubal soalan yang mengumpulkan dan menyebarkan soalan yang telah digubal.
ALKISAH 4 : Kononnya ada guru ketua pengawas yang mungkin mengambil gambar ketika operasi buka kotak di bilik kebal.
ALKISAH 5 : barulah disebut mungkin ini angkara pencetak yang menjual kertas soalan kepada pusat tuisen atau ibu bapa.
Setakat hari ini, menurut laporan akhbar , seramai 5 orang guru, seorang ejen insurans dan seorang jurutera telah ditahan untuk membantu siasatan.
Walaupun masih terlalu awal untuk mengetahui siapalah dalangnya, semua guru di Malaysia telah menerima tempias nya. Lihatlah tajuk akhbar sesedap rasa The Star pada 15 September 2014.
Serangan media terhadap guru Malaysia |
Jawapan para guru Malaysia. |
Situasi inilah yang selalu disebut-sebut oleh orang tua-tua kita dalam pelbagai ungkapan peribahasa yang dalam maksudnya. Antaranya termasuklah peribahasa seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semua, kerana nila setitik rosak susu sebelanga, rosak sekambu ikan dek seekor ikan, rosak bawang ditimpa jambak, kemarau setahun lenyap oleh hujan sepagi dan karam sambal kerana belacan. Demikianlah antara peribahasa semaksud yang dapat saya kutip dari kamus istimewa peribahasa Melayu melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
Comments
Post a Comment