PENULISAN RUMUSAN SPM : Analisis Kelemahan Pelajar
Bulan Jun sudah membuka tirainya, namun daripada penelitian dan pengamatan cikgu selepas semakan soalan peperiksaan pertengahan tahun , anak-anak didik Tingkatan 5 masih belum menguasai kemahiran menjawab soalan Bahagian Rumusan sepenuhnya.Pada hemat cikgu, Bahagian Rumusan merupakan antara bahagian yang paling mudah untuk pelajar mendapatkan skor markah paling tinggi iaitu 30/30.
Bagaimanapun kesilapan dan kealpaan saat 'pena menari-nari 'dan dan 'tinta melakarkan aksara 'pada buku latihan atau skrip ujian dan peperiksaan menyebabkan pelajar gagal mendapat markah penuh untuk rumusan. suatu kerugian besar kerana bukan mudah untuk skor markah penuh pada bahagian lain.
KESILAPAN DALAM MENJAWAB SOALAN RUMUSAN SPM
Kesilapan dalam Penulisan Pendahuluan
Contoh Soalan.
Baca soalan dengan teliti dan tulis rumusan tentang tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran dan faedah mempunyai anak yang berjaya dalam akademik.
Contoh Penulisan Pendahuluan oleh Pelajar dan markah yang Diberikan pemeriksa/Guru
1. Petikan membincangkan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan
anak-anak dalam pelajaran. ( 0 markah)
2. Petikan membincangkan peranan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan
anak-anak dalam pelajaran dan faedah mempunyai anak-anak yang berjaya dalam
akademik. ( 1 markah)
3. Petikan membicarakan tentang peranan ibu ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan
anak-anak dalam pelajaran. ( 11/2 markah)
Ulasan
1. Pelajar memperoleh 0 markah kerana tidak menukarkan kata kunci pertama iaitu
perkataan tanggungjawab kepada perkataan bersinonim seperti peranan , tugas atau
tindakan.
2. Pelajar memperoleh 1 markah kerana menulis kata kunci kedua iaitu faedah mempunyai
anak yang berjaya dalam akademik. kata kunci kedua diwujudkan untuk memberikan
idea untuk fokus soalan isi yang tersirat. Isi kata kunci kedua lazimnya tidak terdapat
dalam petikan.
3. Pelajar memperoleh 11/2 markah kerana menyelitkan perkataan tentang antara kata
kerja transitif membicarakan dengan frasa nama peranan ibu bapa. justeru, pelajar
telah melakukan kesalahan tatabahasa.
Contoh Penulisan Bahagian Pendahuluan Rumusan yang Betul.
Petikan membincangkan/ mengutarakan peranan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.
Kesilapan dalam Penulisan Isi Tersurat
Aspek isi
1. Tidak menjawab tugasan .Contohnya kehendak soalan ialah peranan tetapi pelajar
menjawab soalan tentang akibat.
2. Menyalin ayat bulat-bulat daripada petikan tanpa mengubah sedikitpun struktur ayat.
Bahasa
3. Menyertakan huraian dan contoh (Tidak dapat membezakan antara isi utama dengan
huraian dan contoh)
Aspek Bahasa
1. Menulis ayat yang tidak lengkap atau ayat tergantung
2. Penggunaan penanda wacana yang tidak sesuai.
3. Kesalaan ejaan, tanda baca, istilah dan imbuhan.
Kesilapan dalam Penulisan Isi Tersirat
Aspek Isi
1. Mengambil isi daripada petikan.
2. Menjawab tugasan .Contohnya kehendak soalan bertanya tentang faedah
mempunyai anak yang berjaya dalam akademik, tetapi pelajar menjawab soalan tentang
faktor-faktor anak perlu berjaya dalam akademik.
3. Tidak dapat mengemukakan isi yang bernas dan matang kerana kekurangan maklumat
dan pengetahuan umum.
Aspek Bahasa
1. Penggunaan penanda wacana yang tidak sesuai
2. Menulis ayat yang tidak lengkap dan tergantung
3. kesalahan ejaan, imbuhan, penggunaan istilah dan kosa kata serta tatabahasa.
Kesilapan dalam Penulisan Kesimpulan
1. Tidak memberikan cadangan dan kesan cadangan sebaliknya memberikan pernyataan.
2.Tidak menjelaskan pihak tertentu yang sepatutnya mengambil tindakan dalam cadangan
yang diberikan (cadangan terlalu umum).
3.Tidak menyatakan kesan yang mungkin berlaku hasil tindakan yang dilaksanakan dalam
cadangan.
4. Menulis lebih daripada satu ayat untuk perenggan kesimpulan.
Contoh-contoh Penulisan Bahagian Kesimpulan yang Tidak Tepat
1. Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan industri yang penting di negara kita
(pernyataan )- 0 markah
2. Kesimpulannya, sektor pelancongan perlu dimajukan demi menambah pendapatan
negara (Tidak menyatakan pihak yang sepatutnya bertindak) - (1 1/2 markah)
3.Kesimpulannya , sektor pelancongan perlu dimajukan di negara ini (Tidak menyatakan
kesan/hasil daripada saranan) -1 markah
Contoh Penulisan Bahagian kesimpulan
Kesimpulannya, Perbadanan Pelancongan Malaysia perlu berusaha memperkenalkan Malaysia di mata dunia agar sektor pelancongan dapat dimajukan.
Comments
Post a Comment