DIARI CIKGU BAHASA
Bayangkan,....jika kalian berada di tempat saya....
Saya sedang menyemak karangan Peperiksaan Pertengahan Tingkatan 5. Setelah menyemak lebih kurang 20 esei, saya terpaksa berehat, menarik nafas panjang dan menyandarkan tubuh ke sofa. Rasa loya- loya, nanar (pening lalat) dan hampir rasa nak termuntah . Adakah saya sakit ? Jawapanya, tidak juga . Yang sebenarnya ,membaca esei pelajar melahirkan pelbagai rasa. Kesal, kalut ,sedih dan tidak sedap hati berbaur dalam jiwa. Semua rasa itu ialah petanda stres. Kalau sudah stres, kebugaran tubuh akan terjejas dek minda yang tertekan dan keletihan Wah, parah kalau saya terus begini ! Pukul rata saya ada 300 skrip yang perlu disemak dalam tempoh tiga Minggu .
termenung saya membaca esei kalian.... |
Sekadar hiasan ( bukan gambar esei anak didik saya,,,ihsan google Image) |
entri yang lucu,,,(ihsan google image) |
Membaca esei pelajar dengan tulisan yang pelbagai rupa bentuknya memang meletihkan mata. Ditambah lagi dengan pelbagai kelemahan daripada pelbagai aspek terutama aspek bahasa. Pada dasarnya ada beberapa jenis kesalahan tatabahasa yang biasa dilakukan oleh pelajar. Antaranya kesalahan dari segi ejaan, penggunaan kosa kata dan istilah, penggunaan penanda wacana dan yang paling memeningkan ialah kesalahan dari aspek struktur ayat.
Bagaimanapun dalam entri ini saya ingin menyentuh kesalahan penggunaan kesalahan tatabahasa dari aspek penggunaan penanda wacana, Apakah yang dimaksudkan sebagai penanda wacana?. Keterangan dari kamus Dewan online ini diharap dapat membantu pelajar memahami konsep Penanda Wacana.
Bagi mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana, penanda wacana digunakan. Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Ungkapan-ungkapan yang digunakan selain mempunyai makna tersendiri juga berfungsi sebagai pemberi isyarat bagi makna keseluruhan surat rasmi itu. Penanda wacana dibahagikan menurut jenis makna dan kata yang ditimbulkannya seperti penanda rujukan, penanda penyertaan, penanda makluman dsb. Kekeliruan berlaku apabila penulis tidak menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat mengikut konteks dan makna yang hendak disampaikan. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 525.
Bagi mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana, penanda wacana digunakan. Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Ungkapan-ungkapan yang digunakan selain mempunyai makna tersendiri juga berfungsi sebagai pemberi isyarat bagi makna keseluruhan surat rasmi itu. Penanda wacana dibahagikan menurut jenis makna dan kata yang ditimbulkannya seperti penanda rujukan, penanda penyertaan, penanda makluman dsb. Kekeliruan berlaku apabila penulis tidak menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat mengikut konteks dan makna yang hendak disampaikan. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 525.
Kesalahan Penggunaan Penanda Wacana dalam Penulisan Karangan
Kesalahan yang ketara tetapi tidak diambil berat oleh pelajar ialah kesalahan pengunaan kata ganti nama tunjuk 'ini' kata ganti nama 'ia' pada awal ayat yang fungsinya dianggap sebagai Penanda wacana. kesilapan ini berlaku kerana beberapa faktor
contoh 1
Ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Ini kerana didikan agama dan moral mampu menjadi benteng ampuh menangkis anasir negatif dalam kehidupan.
Ulasan guru:
Oleh sebab pelajar ingin mengemukakan kesan positif daripada langkah yang dilaksanakan, maka antara Penanda Wacana yang sesuai ialah :
.Hal ini demikian kerana....,
Tindakan ini perlu dilaksanakan kerana......,
usaha /prakarsa ini perlu dilakukan kerana......
usaha /prakarsa ini perlu dilakukan kerana......
Contoh Penggunaan Penanda Wacana yang Betul
Ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Hal ini demikian kerana didikan agama dan moral dapat menjadi benteng ampuh menangkis anasir negatf dalam kehidupan,
Contoh 2
Dadah merupakan musuh nombor satu negara dan perlu dibanteras daripada peringkat akar umbi. Ini perlu dilaksanakan demi menyelamatkan golongan remaja daripada terus terpedaya dan terjerat dalam kancah penyalahgunaan dadah.
Ulasan guru
Oleh sebab pelajar ingin mengemukakan kesan daripada situasi membanteras dadah, pelajar seyogianya menggunakan Penanda wacana yang berikut;
Usaha ini perlu....
Tindakan ini perlu....
Prakarsa ini perlu....
Contoh Penggunaan Penanda Wacana yang betul
Dadah merupakan musuh nombor satu negara dan perlu dibanteras daripada peringkat akar umbi. Usaha ini perlu dilaksanakan demi menyelamatkan golongan remaja daripada terus terpedaya dan terjerat dalam kancah penyalahgunaan dadah.
Contoh 3
Industri pelancongan merupakan industri tertier yang turut menyumbang dalam menjana ekonomi negara. Ia /Ianya merupakan kegiatan ekonomi yang perlu diberikan perhatian serius di samping kegiatan ekonomi yang lain.
Ulasan Guru
'Ia' merupakan singkatan kata ganti diri ketiga 'dia', Justeru, tidak boleh digunakan bagi memerihalkan bentuk lain selain manusia. Pelajar kerap menggunakannya sebagai Penanda Wacana kerana terpengaruh dengan sintaksis Bahasa Inggeris yang menggunakan 'it is' untuk merujuk situasi atau perkara yang dibicarakan dalam ayat sebelumnya. Dalam Bahasa Melayu sememangnya tidak ada kata ganti nama untuk benda . Situasi ini menyebabkan salah faham dalam kalangan pengguna Bahasa Melayu dalam memilih istilah ringkas merujuk situasi atau perkara yang terdahulu disebut dalam ayat.
Industri pelancongan merupakan industri tertier yang turut menyumbang dalam menjana ekonomi negara. Oleh yang demikian, industri tersebut merupakan kegiatan ekonomi yang perlu diberikan perhatian serius di samping kegiatan ekonomi yang lain.
Intihanya, pelajar perlu cakna dan jangan sesekali bersikap bena tak bena terhadap kesilapan tatabahasa dalam penulisan karangan. Sebaik-baiknya, sebelum menghantar karangan ,pelajar seyogianya memperuntukkan masa untuk menyemak semua kesalahan tatabahasa. Terlalu banyak kesalahan tatabahasa sebegini akan menjejaskan peluang untuk memperoleh markah cemerlang dalam bahagian penulisan.
Comments
Post a Comment