Karangan Model Nukilan pelajar : Nilai Positif Remaja
NILAI POSITIF YANG HARUS DIMILIKI OLEH REMAJA
Pada era globalisasi yang kian membangun ini, sering diwara-warakan dari bibir ke bibir lapisan masyarakat tentang kemelut keruntuhan akhlak remaja. Remaja merupakan aset yang paling penting dalam membentuk sebuah negara yang maju kerana merekalah bakal pemimpin-pemimpin negara. Persoalannya, mengapakah akhlak remaja pada zaman ini semakin luntur? Pernahkah terlintas dalam gawang minda lapisan masyarakat tentang faktor-faktor yang menyebabkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja? Persoalan-persoalan ini haruslah direnung dengan sikap berlapang dada. Akibat limpahan kemewahan, remaja semakin ghaflah akan tanggungjawab yang digalas dan budaya hedonisme bersarang subur dalam jiwa dan sanubari remaja. Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Malaysia, sebanyak 19.5% daripada penjenayah-penjenayah yang diberkas berumur dalam lingkungan 14 hingga 18 tahun. Sekiranya masalah keruntuhan akhlak remaja tidak dibendung dengan segera, impian saujana negara, iaitu Wawasan 2020 akan menjadi persis mencurah air ke daun keladi sahaja. Oleh itu, terdapat beberapa nilai positif yang harus dimiliki oleh seseorang remaja agar bakal pemimpin negara cemerlang, terbilang, dan berbudi pekerti mulia.
Antaranya, remaja wajar mengamalkan
nilai baik hati dalam kehidupan seharian. Nilai ini hanya boleh dinilai melalui
tindak-tanduk seseorang remaja terhadap orang lain. Remaja pada zaman moden ini
wajar membantu orang-orang miskin dan orang-orang tua secara ikhlas. Selain
itu, remaja juga boleh melibatkan diri secara giat dalam aktiviti-aktiviti
sukarela seperti mengedarkan makanan, pakaian, dan sebagainya kepada
orang-orang miskin. Seseorang reamaja yang sentiasa mengamalkan nilai baik hati
bukan sahaja disukai lapisan masyarakat, malah juga akan sentiasa dihormati dan
disanjungi, di mana-mana seseorang itu berada, bak kata pepatah, umpama minyak
setitik, di laut akan timbul jua. Darah baru setampuk pinang, remaja haruslah
mengamalkan nilai baik hati dan mengelakkan pelbagai onar yang mampu mencalar
imej seseorang remaja itu.
Sekiranya ditelusuri dengan lebih
lanjut, remaja juga perlu menjadikan nilai kerajinan sebagai prinsip kehidupan.
Remaja haruslah mempunyai usaha yang berterusan, penuh dengan semangat
ketekunan dan kecekalan dalam melakukan sesuatu perkara, khususnya menimba ilmu
pengetahuan. Remaja wajar memikul tanggungjawab untuk belajar
bersungguh-sungguh, menyiapkan kerja sekolah tepat pada waktunya, dan sentiasa
mengulang kaji pelajaran pada waktu senggang. Sekiranya seseorang remaja itu
lemah, maka seseorang remaja itu haruslah melipatgandakan usaha untuk menjadi
cemerlang, bak kata pepatah belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Janganlah
setiap perkara yang dilakukan itu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Remaja
perlulah gigih berusaha sehingga membuahkan hasil, bak kata pepatah genggam
bara api biarlah sampai jadi arang. Sudah terang lagi bersuluh, nilai kerajinan
merupakan nilai positif yang harus dimiliki oleh setiap remaja dan kejayaan itu
bukanlah sesuatu yang mstahil.
Di samping itu, remaja juga mestilah
mengamalkan nilai rasional dalam kehidupan seharian. Remaja haruslah boleh
berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan
berasaskan pertimbangan yang wajar. Seseorang remaja yang rasional tentu akan
dapat mempertahankan maruah diri dan keluarganya. Remaja wajar menjadikan
sesuatu yang baik itu sebagai teladan masing-masing dan janganlah sekali-kali
bercermin di air keruh. Tamsilnya, sekiranya seseorang remaja itu dipelawa
untuk merokok, seseorang remaja itu haruslah memikirkan kesan-kesan negatif
sekiranya merokok dan bijak bertindak dengan berani menolak pelawaan tersebut.
Darah hanya setampuk pinang, remaja perlulah mengamalkan nilai rasional dalam
kehidupan seharian agar tidak ditimpa plbagai masalah yang berpotensi
mengganggu emosi remaja.
Yang berat sama dipikul, yang ringan
sama dijinjing. Peribahasa Melayu tersebut menggambarkan betapa pentingnya
nilai kerjasama harus dipraktikkan oleh golongan remaja pada zaman ini. Remaja
wajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan
kerjasama golongan remaja seperti aktiviti gotong-royong mebersihkan kawasan
perumahan dan majlis kenduri-kendara. Dengan menymbangkan kerjasama secara giat
dalam aktiviti-aktiviti sebegini, tentulah hubungan silaturahim antara remaja
dan masyarakat dapat dieratkan serta perpaduan antara kaum juga dipupuk, bak
kata pepatah, bersekutu bertambah mutu. Dengan adanya hubungan silaurahim yang
erat, persefahaman antara remaja dan lapisan masyarakat juga akan diwujudkan.
Segala konflik dan masalah pula dapat dijauhi oleh remaja. Sesungguhnya, remaja
wajar mengamalkan nilai kerjasama dan berganding bahu dengan setiap pihak,
kerana nilai positif ini dapat membentuk keperibadian dan akhlak remaja yang
mulia.
Jika ditelusuri dengan lebih
mendalam, nilai kasih sayang juga merupakan salah satu nilai positif yang harus
dimiliki oleh remaja. Remaja haruslah mempunyai perasaan cinta yang mendalam
dan berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas terhadap ahli keluarga,
khususnya ibu bapa. Persoalannya, bagaimanakah remaja mengamalkan nilai kasih
sayang terhadap ibu bapa? Remaja wajar mengamalkan nilai ini secara tidak
langsung dengan mendengar nasihat ibu bapa, sering bertegur sapa dengan ibu
bapa, dan membantu ibu bapa sekiranya mereka sibuk ataupun sakit. Seseorang
remaja wajar menyayangi ibu bapa mereka seperti mana mereka menyayangi
anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Janganlah remaja sekali-kali melupakan
jasa dan bakti ibu bpa kita. Elakkan bersikap seperti kera mendapat bunga. Hal
ini demikian kerana ibu bapa merupakan golongan yang mendidik anak-anak dengan
sempurna. Remaja wajar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan janganlah
melukai hati mereka kerana syurga terletak di telapak kaki ibu. Ibu bapalah
merupakan insan yang mengasihi dan menyayangi remaja. Oleh yang demikian,
remaja juga wajar menyayangi ibu bapa mereka. Tegasnya, remaja patutlah
mengamalkan nilai kasih sayang terhadap ibu bapa dalam kehidupan seharian kerana
tanpa mereka, siapalah kita? Tepuk dada tnya selera.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang berharga itu zaman remaja.
Rangkap pantun tersebut menunjukkan
betapa pentingnya zaman remaja. Sebagai intiha, remaja perlulah mengamalkan
nilai-nilai positif agar zaman remaja dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik
dan positif. Remaja seharusnya berfikiran terbuka dan bersedia menerima
pelbagai kritikan dan nasihat lapisan masyarakat agar menjadi pemimpin negara
berkaliber, gemilang dan terbilang. Oleh itu, jelaslah bahawa kita sebagai
remaja yang berwawasan seyoginya mengamalkan nilai-nilai positif yang diutarakan tersebut
agar impian saujana negara, yakni Wawasan 2020 akan dapat dicapai dengan
jayanya. Kita tidak mahu generasi akan datang bagai ketam mengajar anaknya
berjalan lurus. Marilah kita sebagai remaja melengkapkan diri dengan rencaman
nilai positif tersebut kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
ULASAN GURU
Karangan pelajar ini dikategorikan sebagai karangan tahap cemerlang. Pelajar ini menjawab tugasan iaitu kehendak soalan dengan tepat. Idea yang dikemukakan juga bernas, berkembang dan menunjukkan kematangan fikirannya. Hujah-hujahnya dimantapkan dengan statistik dan tamsilan-tamsilan yang tepat dan berkaitan dengan idea. Penguasaan bahasanya juga baik untuk seorang pelajar bukan penutur jati bahasa Melayu. Pengaruh sintaksis bahasa Inggeris bagi sesetengah pelajar ibu kota yang menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa interaksi utama di rumah juga tidak wujud. Penggunaan ungkapan menarik seperti peribahasa dan kata-kata hikmah juga diaplikasikan dengan baik. Dalam pada itu, Penguasaan kosa kata bahasa Melayunya jelas luas lewat pemakaian istilah-istilah bukan lazim yang digunakan. Selanjutnya, dari aspek pengolahan, pelajar ini ternyata berjaya menguasai langgam penulisan bahasa Melayu dengan sangat baik.
Syabas Loh Kah Mun, moga memperoleh A+ dalam peperiksaan SPM nanti.
Loh Kah Mun
5 Bestari
SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Comments
Post a Comment