Dirgahayu Bahasaku: Cinta tanpa syarat.

      Baru-baru ini , pasukan forum sekolah  yang saya bimbing  melangkah ke peringkat kebangsaan.  Kejayaan paling indah dan paling manis buat saya , guru-guru dan pelajar yang terlibat .  Bagi pelajar-pelajar  , tentulah merupakan kejayaan besar. Sejarah sekolah   tidak pernah mencatatkan kejayaan pasukan forum sekolah waima di peringkat daerah

     Dua dekad sejak menggalas tugas sebagai   guru Bahasa Melayu, saya tak pernah jemu menggalakkan dan membimbing pelajar  menyertai aktiviti kebahasaan. Di mana-mana pun sekolah saya berada, saya tanpa rasa berat dan penuh rela sanggup meluangkan  masa untuk mencungkil bakat dan menyuburkan potensi diri pelajar. 

  Melakukannya tanpa sebab dan  tanpa syarat. Bukan kerana ingin meraih populariti  atau melonjakkan nama dalam kalangan rakan setugas yang baru mengenali saya di sekolah baharu  , jauh sekali kerana ingin meraih anugerah . Tidak sama sekali . Saya melakukannya kerana rasa cinta.  saya cinta bahasa Melayu. Dunia kanak-kanak saya dikelilingi alam persuratan Melayu. Saat  saya mula pandai membaca, hidup saya ceria dan indah dengan pelbagai koleksi buku cerita tulisan jawi dan rumi baik di sekolah , di rumah sendiri atau rumah nenek dan atok. Zaman itu zaman semua orang membaca akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman, Majalah Qiblat, Al Islam, Dian dan Mastika, malah kalau abah pulang dari Singapura , pelbagai bahan bacaan  kertas perang bertulisan jawi  dibawanya   namun kreativiti penulisnya sering menyebabkan saya terpaku berjam-jam lamanya menatap buku .

  Semasa di sekolah saya juga giat menyertai pelbagai pertandingan bahasa dari peraduan menulis esei sehinggalah deklamasi sajak, pidato, bahas juga syarahan agama. Rata-rata, saya beroleh kejayaan, pernah memenangi tempat ketiga peraduan menulis esei , pernah menjadi Johan syarahan agama daerah Klang dan Muar. Saya mendapat bimbingan daripada guru-guru yang sanggup meluangkan , masa dan menyumbang wang ringgit , duit minyak dan duit makan saat membawa saya menyertai pertandingan. Daripada guru-guru terdahulu saya mengambil teladan dan mempraktikkannya  kepada anak-anak didik saya pada  hari ini. 

     Saat saya sudah  bergelar graduan Persuratan Melayu dan linguistik dari UKM dan menjadi guru bahasa dan sastera   Melayu saya mula menganggap dan meletakkan  meletakkan   diri saya sebagai 'orang bahasa' . Saya juga aktif dalam medan pengucapan umum, pidato, drama, debat, sayembara puisi dan pertandingan menulis esei saya sertai. Pernah saya mendapat tempat pertama peraduan menulis esei mahasiswa dengan tajuk" Bahasa Melayu dan Cabarannya Menjelang Tahun 2020". Wang tunai RM 2000 dan tiket penerbangan ke Kota Kinabalu saya peroleh. Saya bukan ingin berbangga dengan kejayaan yang cuma sedikit cuma ini, namun saya ingin membuktikan betapa cintanya saya dalam dunia adu fikir, adu bicara dan adu minda . Menguasai kemahiran berfikir, menulis dan  lisan dalam Bahasa Melayu membolehkan saya 'bermain-main' dengan cekap dalam bahasa leluhur ini.  Lantas membimbing pelajar menzahirkan idea bernas dan bermakna dalam gelanggang debat , pidato dan forum remaja saya anggap sebagai sebahagian agenda saya dalam perjuangan memartabatkan bahasa.

   Saya sedar perjuangan ini tidak dipandang  orang. Dalam zaman sains dan teknologi ini  ramai yang  tidak endah lagi bahasa Melayu yang disifatkan tidak punya nilai komersial . Perjuangan   untuk mengekalkan bahasa Inggeris dalam subjek sains masih lagi sering   kedengaran .  Sikap pesimis terhadap kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu Sering kali dicabar dan dipertikaikan. Justeru, saya selalu berfikir siapalah yang akan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya dan kalau mampu menjulangnya di persada antarabangsa, kalau bukan saya, guru bahasa Melayu. Kalau guru bahasa Melayu sendiri tidak berusaha membawa pelajar menghayati santun dan puitisnya bahasa, lalu dengan yakin dan petah mampu mengutara idea, berbual bicara   , berdiskusi dan bertingkah bicara, siapalah lagi yang akan melakukannya?

  Saya biasa mendengar orang bicara saya ini syok sendiri.  Guru Bahasa Melayu dikaitkan dengan ciri-ciri konservatif dan tradisional kerana ingin mempertahan jati diri dan amalan budaya leluhur .  Kalau ciri-ciri inovasi dan  teknologi.makumat dan komunikasi  memanglah tidak dikaitkan dengan kami . Dalam zaman globalisasi fasih  berbahasa Melayu hanya melayakkan kita menjadi jaguh kampung. Orang sudah pergi ke London, Paris , Itali dan ke serata dunia, awak sibuk  mengajak pelajar berperi, menghitung bulan dan matahari tak berhenti-henti.  Begitulah antara pernyataan-pernyataan satira yang pernah diungkapkan  dan biasa saya dengar .


    Biarlah apa orang nak kata. Sekurang-kurangnya saya ada perkara untuk diperjuangkan, Saya ada  agenda untuk memberikan manfaat kepada insan lain iaitu anak didik saya. Kelak, dengan ilmu yang saya berikan kepada mereka  dapat mereka manfaatkan dalam kehidupan. Manalah tahu ada  antara mereka nanti menggunakan bekal keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi ini untuk menjadi sumber rezeki.

    Sungguh saya berterima kasih kepada anak-anak didik STK yang telah mengharumkan nama guru, nama sekolah, nama ibu bapa di medan Forum Remaja Kebangsaan. kenangan ini menjadi kenangan paling indah. Terima kasih kerana berusaha mengisi peluang yang ada kerana kadang-kadang peluang sebegini sekali sahaja hadirnya dalam hidup kita.




Comments

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5