Karangan Respons Terbuka



KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?

Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.


PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :


1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.


PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.

1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan


PERENGGAN PENGENALAN :

Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :

Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.

(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.

(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.

(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :

Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

Soalan contoh :

Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :

Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.


PERENGGAN ISI :

1. APAKAH AYAT TOPIK ?

Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?

Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?

Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :

1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
Soalan contoh :

Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:

1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.



PERENGGAN PENUTUP :

Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:

1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.

Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.

Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.

Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.

Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.

Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.

Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan

Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.

Rujukan:
1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus & Dr Ghazali Lateh, Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KARANGAN  MODEL SPM


Ceritakan pengalaman anda semasa menjalankan tugas sebagai sukarelawan yang membantu mangsa bencana alam.
Jenis : Karangan Keperihalan

Teknik : Gunakan dimensi pancaindera untuk menggambarkan pengalaman menjalankan tugas sebagai sukarelawan.
Mata : Apa yang dilihat di depan mata?
Kematian, kecederaan parah mangsa bencana alam.
Anggota tubuh badan yang bercerai, darah yang mengalir
Kemusnahan harta benda - keruntuhan bangunan, peralatan yang
hanyut (jika banjir), kebakaran harta benda.
Debu dan habuk akibat runtuhan
Pasukan sukarelawan yang mundar mandir untuk mengangkat dan
menyelamatkan mangsa kebakaran
Pihak media yang sibuk membuat liputan untuk mendapat berita terkini

Telinga : Apa yang didengar dari jarak dekat dan dari jarak jauh ?
Jeritan mangsa bencana yang mengalami kecederaan parah
Komunikasi antara anggota-anggota sukarelawan dengan agensi
yang terlibat - Jabatan Bomba dan penyelamat, JPA3, Polis
Bunyi kenderaan pasukan penyelamat - helikopter, trak
Bunyi jentolak yang bertugas membersihkan kawasan runtuhan

Hidung : Apa yang dihidu dari jarak dekat.
Bau busuk mayat
Bau hanyir darah anggota badan mangsa

Butiran kejadian bencana alam : 


1. Apa jenis bencana alam? Tanah runtuh, banjir besar, gempa bumi, kebakaran hutan, runtuhan salji, Tsunami

2. Bila peristiwa itu berlaku ( anda menjalankan tugas tersebut)
Nyatakan tarikh lengkap peristiwa tersebut- dari mula berlaku kejadian bencana alam itu sehingga usaha tersebut ditamatkan secara rasmi.

3. Nyatakan lokasi di mana kejadian itu berlaku?

4. Nyatakan pihak yang terlibat sama dalam operasi membantu mangsa bencana alam. Nyatakan nama organisasi yang anda wakili.

5. Nyatakan pendapat anda tentang pentingnya semangat sukarelawan untuk membantu mangsa bencana alam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Anda akan menyertai pertandingan pidato sempena Kempen Bulan Bahasa peringkat daerah.
Sediakan teks pidato itu selengkapnya.


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.
     Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

     Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.


Saudara saudari yang dihormati sekalian,
     Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

 Hadirin sekalian,
     Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,

    Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.


Hadirin sekalian,
     Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.


     Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.



    Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.



   Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.


Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim
Blog: http://khirkassim.blogspot.com


 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

     Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

    Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

      Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

     Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

    Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

    Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

    Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Sumber : Blog Cikgu Anely

 

 

 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH



     Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.




    Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.


    Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.




    Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.


    Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

    Secara tuntasnya, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber : Blog Cikgu Anelyza



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4


1. Senario Masyarakat Kita (Buku Teks m.s. 1)

Soalan Contoh

Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keadaan tersebut.



2. Ambang Remaja (Buku Teks m.s. 23)

Soalan Contoh

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan yang penting untuk membangunkan negara ini.

Ulas pernyataan di atas.



3. Dunia Semakin Canggih (Buku Teks m.s. 50)

Soalan Contoh

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.



4. Keranamu Malaysia (Buku Teks m.s. 75)

Soalan Contoh

Banyak kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa negara kita juga setanding dengan negara maju yang lain.


Huraikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia pada peringkat antarabangsa.



5. Melestarikan Alam Sekitar (Buku Teks m.s. 100)

Soalan Contoh

Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah pencemaran alam namun masih kurang berkesan untuk mengatasinya.

Jelaskan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.



6. Riadah (Buku Teks m.s. 127)

Soalan Contoh

Aktiviti memancing ikan semakin diminati oleh sesetengah anggota masyarakat pada masa ini.

Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti terebut.



7. Generasi Kita (Buku Teks m.s. 156)

Soalan Contoh

Remaja pada hari ini perlu diberikan pendidikan yang sempurna kerana mereka merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa depan.


Ulas pernyataan di atas.



8. Gaya Hidup Sihat (Buku Teks m.s. 180)

Soalan Contoh

Sebagai seorang wartawan majalah terkemuka di negara ini, anda dikehendaki menulis rencana yang bertajuk “Budaya Makanan Segera dalam Kalangan Masyarakat ”.


Tulis rencana itu selengkapnya.





9. Kerjaya (Buku Teks m.s. 203)

Soalan Contoh

Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.


Tulis rencana tersebut selengkapnya.


 Bangsa (Buku Teks m.s. 223)

Soalan Contoh

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.

Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.



11. Industri Pelancongan Malaysia (Buku Teks m.s. 249)

Soalan Contoh

Industri pelancongan di negara kita merupakan antara penyumbang utama dalam bidang ekonomi dan hal ini penting untuk memajukan negara.

Huraikan sumbangan-sumbangan industri pelancongan terhadap kemajuan negara.




Comments

Popular posts from this blog

Peribahasa Bertemakan alam sekitar

TEKS FORUM REMAJA 2016

PERIBAHASA DARI BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5